Perjuangan Menagih Pengorbanan

Firman ALLAH Azza Wa Jalla dalam surah Hud,ayat 112:

“Maka istiqamahlah(tetapkanlah) kamu sebagaimana kamu kamu diperintahkan”

Ayat al-Quran ini mungkin bagi sesetengah orang telah menjadi kebiasaan pada telinganya mendengarnya.Namun,apakah salah sekiranya kita sering mengulang dan membaca ayat yang sama sebagaimana seseorang itu memasang dan mendengar lagu-lagu kegemaran yang dinyanyikan oleh artis-artis pujaan mereka?Sebagaimana seseorang itu sering mendengar lagu-lagu kegemaran tertentu untuk mudah mengingati lirik serta menghayati makna daripada lirik tersebut(kebanyakan lagu yang ada sekarang tidak mempunyai lirik yang membawa kepada unsur-unsur kebaikan apatah lagi kepada unsur ketauhidan kepada ALLAH Azza Wa Jalla,kebanyakannya berunsurkan cinta antara lelaki dan perempuan yang belum diijabkabulkan),maka begitu juga dengan hasrat saya menyebut dan mengulangi ayat al-Quran di atas agar kita sentiasa mengingati peringatan-peringatan ALLAH Azza Wa Jalla serta mentadabbur(menghayati) isi dan makna al-Quran.Insya ALLAH.

‘Isiqamahlah’.Satu suruhan yang ringkas tetapi amat berat bagi insan untuk melaksanakannya.Benar,ia amatlah berat bagi kita untuk beristiqamah dalam apa jua urusan dalam kehidupan kita sama ada yang melibatkan urusan pekerjaan kita,pelajaran kita,apatah lagi urusan agama.Mungkin mudah bagi kita menyebut dan membaca ayat yang pendek tersebut,namun untuk kita menunaikan perintah tersebut,bukanlah sesuatu yang semudah itu.Sesetengah dari manusia,mereka lebih suka membaca ayat ini dan menyuruh orang beristiqamah dalam apa jua pekerjaan terutamanya dalam urusan ibadah.Begitu lancar mereka menyeru ke arah isitiqamah tersebut tanpa memikirkan apakah dirinya terlebih dahulu telah menunaikan nilai istiqamah yang diinginkan oleh ayat tersebut.Bukanlah salah bagi seseorang itu untuk berdakwah atau menyeru kepada apa-apa jua tindakan yang boleh membawa natijah kepada perhambaan yang mutlak kepada ALLAH Azza Wa Jalla.Tetapi kita haruslah juga mengingatkan diri kita dengan firman ALLAH Azza Wa Jalla di dalam al-Quran sebelum kita mengingatkan hal tersebut kepada orang lain:

“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedangkan kamu melupakan diri (kewajipan)mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berpikir?”(Surah  Al-Baqarah,ayat 44)


“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”(Surah As-Shaff,ayat 2-3)

Dalam ayat di atas,ALLAH Azza Wa Jalla telah menegur Bani Israel(Israel merujuk kepada panggilan kepada Nabi Yaakub) yang menyuruh orang lain membuat kebaikan tetapi melupakan tanggungjawab berbuat baik tersebut atas diri mereka sendiri.Begitu juga ALLAH Azza Wa Jalla telah mengingatkan orang-orang yang mengaku beriman kepada ALLAH dan hari kiamat agar tidak mengatakan sesuatu yang tidak mereka kerjakan kerana hal yang demikian itu adalah satu kebencian yang besar di sisi ALLAH Azza Wa Jalla.Justeru,pada kesempatan ini saya ingin mengingatkan diri saya serta antum semua  yang mungkin terdiri daripada penceramah-penceramah yang hebat atau naqib nuqabah usrah yang aktif agar kita terlebih dahulu mengingatkan diri kita sendiri serta melaksanakan apa yang kita ingin orang lain laksanakan sesuatu kebaikan.Mudah-mudahan kita semua dijauhkan daripada kebencian dan kemurkaan di sisi ALLAH Azza Wa Jalla.

MANFAATKAN BLOG YANG DIMILIKI

Alhamdulillah,hampir genap sebulan ana berada di bumi Mesir ini,bumi yang penuh dengan sejarah para nabi,auliya dan ulamak.Sebulan berada di sini sudah tentulah banyak pengalaman yang ana tempuhi di sini.Tetapi alhamdulillah kebanyakannya ialah pengalaman yang baik-baik belaka.Sekiranya  ditulis pengalaman-pengalaman ini atas sehelai kertas kajang,sudah pasti tidak cukup dan tidak memadai ruang untuk menghuraikan dan menceritakan segala pengalaman ini.Namun,ana  tidak ingin berkongsi perjalanan hidup ana di Mesir ini dalam ruangan blog ini kerana masih terdapat ruang yang lain bagi ana untuk mencoretkan dan menceritakan pengalaman di sini kepada antum semua misalnya emel,Yahoo Mesenger,Friendster dan sebagainya.Sebenarnya tujuan utama ana mewujudkan blog ini bukanlah sekadar main-main atau tidak mempunyai sebarang tujuan,tetapi adalah untuk melaksanakan segala matlamat utama sebagaimana yang telah ana sebutkan dalam artikel yang lepas(antum semua boleh merujuk artikel ana yang lepas yang bertajuk AYUH KEMBALI KEPADA MATLAMAT ASAL).

Pada hari ini,saya amat kagum dan bangga dengan rakyat Malaysia yang kini begitu membangun dalam dunia ICT.Hampir kebanyakan golongan yang terdiri daripada ahli korporat,ahli politik,agamawan serta para pelajar telah mempunyai blog-blog mereka masing-masing.Malah RTM 1 sendiri telah menyediakan satu ruangan khas untuk menyiarkan slot rancangan ‘Blog’ kepada penonton-penontonnya.

Namun,saya sebenarnya merasakan sedikit kerugian kepada individu-individu terutamanya pelajar-pelajar yang mempunyai blog sendiri atas isi-isi dan kandungan yang dimuatkan di dalam blog mereka.Kebanyakan daripada blog yang ana buka,kebanyakannya memuatkan cerita-cerita serta pengalaman peribadi masing-masing.Bukanlah salah untuk menulis pengalaman-pengalaman tersebut di dalam blog masing-masing,tetapi tidakkah kita terfikir sebelum menulis sesuatu artikel di dalam  blog-Apa yang aku dan orang lain dapat daripada hasil artikel yang aku tulis ini?-Apakah kesan dan natijah hasil artikel aku ini kepada orang lain?-

Maka,bagi pendapat ana,memenuhkan ruangan blog dengan cerita dan pengalaman hidup adalah sesuatu yang agak membazirkan masa serta tidak membawa banyak faedah kepada orang yang membacanya dan lebih-lebih lagi kepada diri kita sendiri.Orang lain yang membacanya sekadar dapat mengambil informasi mengenai pengalaman hidup yang kita telah coretkan kemudian ingat sekejap dan seterusnya melupakannya.Masa yang kita luangkan,mungkin sesetengah orang mengambil masa hampir satu jam untuk menyiapkan sesuatu artikel,alangkah baiknya sekiranya digunakan untuk perkara-perkara lain yang lebih berfaedah seperti mengulangkaji pelajaran,membaca al-Quran dan sebagainya.

Jadi,ana menasihatkan diri ana serta antum semua yang sedang membaca artikel ini khususnya yang mempunyai laman blog sendiri agar berusaha menjadikan laman blog kita sarat dan penuh dengan unsur-unsur yang menyeru kepada pengabdian diri kepada ALLAH Azza Wa Jalla dan pembinaan semula nilai-nilai islamik yang kian luntur dan pudar daripada amalan umat Islam pada hari ini.Sekiranya antum tidak mampu untuk menulis sendiri artikel yang mempunyai unsur sedemikian,maka antum boleh sahaja ‘copy’ dan ‘paste’ artikel daripada mana-mana blog yang mempunyai unsur-unsur yang disebutkan di atas.Tetapi jangan lupa untuk menyatakan di bahagian akhir artikel tersebut sumber artikel yang antum perolehi iaitu dengan menyatakan penulis sebenar artikel tersebut.Hal ini penting bagi mengelakkan sebarang masalah yang berlaku(umpamanya kita mungkin akan dianggap sebagai penciplak kepada idea dan hasil nukilan orang lain).

Ataupun antum boleh sahaja memuatkan sebarang kuliah-kuliah agama dan ceramah  mahupun juga kuliah berkaitan akademik umpamanya histologi,bichemistry atau apa-apa subjek yang berkaitan dengan bidang yang kita ceburi mahupun yang kita tidak ceburi.Dalam erti kata lain,MAANFATKANLAH BLOG YANG KITA MILIKI sebagai satu saham kita di hari akhirat kelak.AMIN.

SABAR,TABAH DAN BERKORBAN

Setiap usaha  yang membawa kepada sesuatu matlamat memerlukan pengorbanan.Lebih besar sesuatu matlamat yang ingin dicapai lebih besar pula pengorbanan yang perlu dilaksanakan.Tanpa pengorbanan,maka amat sukar bagi seseorang untuk mengejar dan mencapai sesuatu matlamat yang ingin dicapai.Hatta matlamat yang kecil dan mudah  memerlukan juga sedikit pengorbanan.Umpamanya seseorang yang lapar perlulah sama ada memasak sendiri atau membeli makanan di kedai serta makan untuk menghilangkan rasa lapar tersebut.Sekiranya dia membiarkan perutnya lapar tanpa membuat apa-apa usaha yang mengenyangkan perutnya,maka tetaplah dia dalam kelaparan.Ini merupakan satu contoh pengorbanan secara ringkas dalam mendapatkan makanan.

Begitu jugalah dengan agama Islam yang kita anuti,ia memerlukan pengorbanan untuk kita laksanakan dan tegakkan semua ajaran yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah.Mungkin cumanya nilai pengorbanan yang dikerahkan berbeza antara setiap individu muslim berdasarkan atas kemampuan diri masing-masing.Namun,saya ingin mengajak setiap daripada kita agar menghayati dan mencontohi  pengorbanan yang ditunjukkan oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. dalam peperangan Badar Kubra yang belaku pada bulan Ramadan. Bilangan sahabat yang terlibat di dalam peperangan tersebut menurut riwayat sebahagian ahli sejarah menyatakan 313 orang.Ada juga yang mengatakan 315 dan 317 orang.Bagaimanapun, perbezaan pendapat dalam hal ini tidak menjadi masalah kerana kesimpulannya, bilangan sahabat hanyalah dalam lingkungan 300 berbelas-belas.Manakala bilangan tentera Musyrikin pada masa itu adalah seramai 1000 orang.Namun,dalam peperangan ini ALLAH Azza Wa Jalla telah menghantar 1000 malaikat untuk menolong tentera Islam dalam peperangan tersebut sebagaimana firman ALLAH di dalam al-Quran:

“Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” (surah Al-Anfal,ayat 9)

Cuba kita agak dan bayangkan berapakah bilangan tentera kuffar Musyrikin yang tewas dalam peperangan tersebut dengan bilangan tentera Islam yang telah menjadi hampir seramai 1313 orang dengan turunnya bantuan daripada malaikat?Satu malaikat sebenarnya sudah memadai untuk menghancurkan kesemua 1000 orang tentera Musyrikin.Hal ini sebagaimana satu peristiwa yang kita semua sudah sedia maklum di mana malaikat pernah membuat tawaran kepada Nabi Muhammad s.a.w. semasa dihalau dengan hina dina oleh penduduk Taif,untuk menterbalikkan dua bukit ke atas penduduk Taif sebagai balasan atas perbuatan yang dilakukan ke atas Nabi s.a.w.Tetapi,baginda menolaknya.Maka,bagaimana pula dengan 1000 malaikat yang dihantarkan oleh ALLAH Azza Wa Jalla dalam peperangan Badar tersebut?Maka sudah pasti lebih dahsyat lagi kesan yang yang akan terjadi.

Namun,sebenarnya dalam peperangan tersebut,hanya 70 orang tentera kuffar Musyrikin sahaja yang tewas manakala seramai 17 orang sahabat pula gugur sebagai syuhada.Tidakkah kita terfikir-Mana mungkin dengan bantuan seribu orang malaikat hanya 70 orang sahaja tentera kuffar Musyrikin yang berjaya ditewaskan dan 17 orang sahabat gugur pula sebagai syuhada?-Maka,sebenarnya kemenangan yang berlaku di dalam peperangan Badar ini adalah berlaku di tangan orang Islam sendiri.Para sahabat r.anhum terpaksa membayar sendiri harga perjuangan sebelum mencapai kemenangan di dalam peperangan tersebut.

Umat Islam pada akhir zaman kini juga tidak terlepas dengan musuh-musuh Islam yang terdiri daripada kuasa-kuasa besar dunia iaitu Amerika dan sekutu-sekutunya.Pada kali ini,umat Islam belum pasti akan diturunkan dengan bantuan malaikat seperti yang berlaku dalam peperangan Badar.Umat Islam pada hari ini juga amat berbeza dengan umat Islam pada zaman para sahabat yang mana mereka(yakni umat Islam hari ini)telah jauh meninggalkan ajaran Islam yang sebenar.  Tiba-tiba kita menyeru dan berdoa kepada ALLAH Azza Wa Jalla agar memusnahkan kuasa besar kuffar ini tanpa melakukan sesuatu yang bergerak yang akan menghancurkan kuasa kuffar tersebut.Adakah ini yang dikatakan perjuangan?Kita sebenarnya belum lagi membayar harga perjuangan itu sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat r.anhum.Kita sebenarnya tidak melakukan sesuatu usaha yang benar-benar melayakkan kita untuk ditolong oleh ALLAH Azza Wa Jalla sebagaimana para sahabat yang terpaksa masuk ke medan peperangan dan mengangkat pedang terlebih dahulu sebelum ALLAH memenangkan mereka dalam peperangan tersebut.

Saya teringat kepada satu hadis Nabi s.a.w.,yang diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari,hadis yang terdapat dalam bab sabar dalam kitab Riyadhus Solehin,hadis yang ke 42:

“Daripada Abi Abdillah Khabbab bin Art r.a.,katanya,kami mengadu kepada Rasulullah s.a.w. yang sedang berselimut dengannya selendang(burdah) di bawah naungan (teduhan) Kabaah,lalu kami berkata, “Tidak bolehkah engkau berdoa kepada ALLAH kepada agar menolong dan memenangkan kita?Maka,jawab Nabi s.a.w., “Sesungguhnya telah ada seorang lelaki sebelum daripada kamu,telah dibawanya dan ditanam(sebahagian badan) di dalam tanah,kemudian dibawakan gergaji,diletakkan di atas kepalanya dan dibelah sehingga menjadi dua,kemudian disikat dengan sikat besi sehingga terpisah antara daging dan tulangnya,tetapi langsung tidak menghalangnya daripada berpegang teguh kepada dengan agamanya(yakni Islam).Demi ALLAH!ALLAH akan menyempurnakan hal ini(yakni akan memenangkan umat Islam) sehingga orang yang berkenderaan daripada Shan’a hingga ke Hadramaut tidak akan merasa takut melainkan kepada ALLAH  dan serigala yang akan mengganggu kambingnya.Tetapi kamu semua adalah orang yang tergopoh-gapah”

Khabbab b. Art ialah seorang tukang besi dan merupakan antara sahabat nabi yang banyak diseksa oleh kafir Musyrikin Mekah sehingga dikatakan masak dagingnya akibat diletakkan badannya di atas besi yang dipanaskan.Dalam hadis tersebut,Khabbab telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. dan meminta agar Nabi s.a.w. berdoa kepada ALLAH agar mempercepatkan sedikit kemenangan umat Islam.Tetapi Nabi s.a.w. memberikan jawapan yang tegas dan memberitahu bahawa ALLAH akan memenangkan umat Islam suatu masa nanti dan menyatakan bahawa Khabbab adalah termasuk di kalangan orang yang tergopoh gapah.

Masya ALLAH.Khabbab dengan keadaannya yang telah teruk diseksa oleh kafir Musyrikin Mekah dikatakan oleh Nabi s.a.w. sebagai orang yang tergopoh gapah,bagaimana pula dengan  kita(khususnya di Malaysia) yang tidak menghadapi sebarang tindakan berbentuk fizikal seperti yang berlaku ke atas Khabbab,yang sebahagiannya mungkin hanya dikritik sedikit akibat gerakan dakwah yang telah dilakukan atau yang paling teruk dicaci dan dipulau,tiba-tiba kita ingin berdoa agar ALLAH Azza Wa Jalla memenangkan umat Islam pada hari ini?

Firman ALLAH s.w.t:

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”(Surah Al-Baqarah,ayat 214)

Maka,saya ingin mengajak kepada antum semua yang sedang membaca artikel ini supaya pertama sekali kita mestilah bersabar dan tabah dalam melakukan gerakan dakwah ke arah mendaulatkan agama Islam ini agar umat Islam akan menang suatu masa nanti.Sejerih pengorbanan perlu dikerah dalam melaksanakan tugas dakwah ini.Kita perlulah mencanang dan merancang dengan teliti suatu perancangan dari segala sudut ke arah matlamat yang kita ingin capai.Yang teramat penting ialah kita mestilah mencurahkan segala daya dan tenaga,mengorbankan masa,jiwa,harta hatta keluarga dalam menggerakkan perancangan yang telah dirancang bersama-sama dan bersepadu.Segala ujian dan dugaan semasa perjalanan usaha gerakan dakwah ini perlulah ditempuhi dan diredahi.Segala pahit,masam dan manis liku-liku perjuangan ini perlu ditelan.

Ingatlah usaha gerakan dakwah ini tidak mengharapkan pulangan dan habuan dalam masa yang singkat.Kita tidak mengharapkan apabila kita bergerak pada hari ini,terus berubah pada keesokannya.Sebaliknya ia memerlukan masa untuk melakukan perubahan ini sehingga tiba kepada suatu masa yang mana kemenangan,kekuasaan dan kemuliaan akan jatuh ke tangan umat Islam semula.Berapa ramai para sahabat yang tidak sempat melihat kejayaan Nabi s.a.w. membuka kota Mekah(Fathul Makkah)?Hatta Nabi s.a.w. sendiri tidak sempat melihat kejayaan khalifah Islam semasa zaman Abbasiyah yang menguasai hampir 2/3 daripada dunia ini.Justeru,usah difikirkan sangat hasrat untuk melihat kemenangan dan hasil daripada usaha gerakan dakwah kita ,sebaliknya fokuskan segala usaha kita ke arah hasil yang ingin kita capai iaitu mendaulatkan agama Islam sebagai agama yang tertinggi dan paling mulia di atas muka bumi ALLAH ini.Mudah-mudahan kita semua akan terlepas dari azab ALLAH pada hari akhirat kelak .

Firman ALLAH Azza Wa Jalla dalam kitabNya:

“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?” Mereka menjawab: “Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.”(Surah Al-‘Araf,ayat 164)


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: