Rebutlah Kebaikan Selagi Umur Masih Berbaki

Kita baru-baru ini dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh ulama’ dan pendakwah,Syeikh Dr Fathi Yakan pada 13hb Jun yang lepas iaitu bersamaan hari Sabtu.Info lanjut mengenainya anda boleh melihat pada artikel saya yang lepas yang bertajuk “Perginya Seorang Murabbi Umat“.Sedih rasanya apabila mula-mula mendengar berita mengenai pemergian Syeikh Dr Fathi Yakan.Saya sebenarnya mula mengetahui nama syeikh semasa di sekolah menengah,apabila silibus utama usrah saya pada waktu itu menggunakan buku yang dikarang oleh syeikh iaitu yang bertajuk “Apa Erti Aku Menganut Agama Islam”.Saya kira hampir kebanyakan sekolah menggunakan buku ini sebagai silibus usrah.Bahkan saya dan sahabat-sahabat masih lagi menggunakan buku itu di Mesir ini sebagai silibus untuk Smart Circle(nama usrah kami di Mesir)untuk pelajar-pelajar perubatan tahun satu.

Perginya seorang ulama’ sudah semestinya tidak sama dengan perginya orang biasa.Hilangnya seorang ulama’ beerti hilanglah sebutir mutiara yang berada di dalam lautan manusia.Mutiara inilah yang membawa manusia kepada jalan lurus yang dilalui oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat.Kematian para ulama’ sebenarnya adalah satu bala kepada umat kerana ulama’ itu pewaris para nabi.Ketiadaan para ulama seperti ketiadaan para nabi yang mana umat akan terkapai-kapai hanyut di dalam arus duniawi tanpa panduan al-Quran dan as-Sunnah.Hal ini pernah dinyatakan oleh Nabi s.a.w,mafhumnya:

Daripada Abdullah b. Amr b. ‘As r.huma katanya:Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dari manusia dengan cara menarik ilmu daripada manusia(yakni tidak memadamkan ilmu di dada para ulama),tetapi Allah mengangkat ilmu dengan mematikan para ulama  sehingga tidak tinggal lagi orang ‘alim,(lalu) manusia akan mengambil orang yang jahil sebagai pemimpin,lalu mereka ditanya mereka memberi fatwa tanpa ilmu,maka(hal itu menyebabkan)mereka tersesat dan menyesatkan manusia.(Muttafaqun ‘Alaih)

Kita memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan kita daripada zaman ketandusan para ulama seperti yang oleh baginda nabi s.a.w.Bahkan pada hari ini kita sebenarnya telah melihat pada sebahagian keadaan manusia telah melantik orang jahil mengepalai dan mengetuai urusan agama.Hal ini sebenarnya satu fitnah(ujian) yang amat besar dan berat kepada umat Islam.

Sepanjang minggu ini saya dihidangkan dengan berita-berita mengenai kematian fulan itu dan ini yang akhirnya menyebabkan diri ini tertanya-tanya juga:Bila pula akan tiba giliranku?Masih banyak lagikah baki umurku di dunia ini?Tiada siapa yang mengetahui jawapannya melainkan ALLAH Azza Wajalla,Tuhan Yang Menghidupkan dan Tuhan Yang Mematikan seluruh makhluk-Nya.Adakah telah cukup amal kebajikan dan kebaikan untuk kita menempuh hari yang tiada syak,Hari Akhirat,hari perhitungan yang mana semua amalan akan diberi ganjaran dan balasan tanpa sesiapa pun yang akan terasa dizalimi dengan perhitungan ALLAH Azza Wajalla Yang Maha Adil?ALLAH Azza Wajalla telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 148:

Maka berlumba-lumbalah kamu ke arah kebaikan

Melalui ayat di atas,kita dapat fahami bahawasanya ALLAH menyuruh manusia berlumba-lumba dan berebut-rebut dalam membuat perkara kebaikan bukannya buat kebaikan hanya apabila ada masa ‘free’.Berbeza dengan perlumbaan mana-mana pertandingan umpamanya lari 100M,akan ada nanti di akhir garisan orang yang menang dan kalah dan akan ada orang yang mendapat untung dan rugi,sebaliknya perlumbaan dalam membuat kebaikan tiada orang yang akan kalah dan rugi.Semuanya akan mendapat keuntungan.Cumanya lebih banyak amal kebaikan yang dilakukan oleh seseorang,lebih banyak pula keuntungan yang diperoleh.Lebih pantas seseorang kepada kebaikan,lebih pantas juga rahmat ALLAH Azza Wajalla ke atasnya.Inilah perkara yang kita perlu renungi bersama.

Seruan kepada berlumba-lumba dalam membuat kebaikan perlu kita semat di dalam minda kita.Ramai daripada kita yang suka menangguhkan untuk melakukan perkara yang baik sedangkan mereka mampu untuk melaksanakannya pada masa itu juga.Tindakan ini sebenarnya bercanggah dengan seruan ayat al-Quran di atas.ALLAH Azza Wajalla menyeru kepada hamba-hambanya supaya berlumba-lumba dan bersegera dalam membuat kebaikan.Kerana apa?Kerana manusia tidak mengetahui berapakah lagi baki umurnya yang tinggal  di dunia ini.Rata-rata daripada kita memasang angan-angan yang terlalu tinggi seakan-akan umur kita masih lagi panjang.Kita menganggap kita masih muda dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik,maut tidak akan singgah kepada kita.Sedarlah dan ingatlah sentiasa,bahawa ajal dan maut tidak pernah mengenal usia dan jantina,pangkat dan kedudukan.Ianya akan hadir apabila cukup tempoh yang ditetapkan ALLAH,tidak dipercepatkan walau sesaat dan tidak diawalkan walau sesaat.

Bayangkan jika sekiranya perkara kebaikan yang mampu kita lakukan sebentar tadi kita tangguhkan untuk hari esok,tiba-tiba ajal datang menjemput kita pada hari ini,maka amatlah malang dan ruginya diri kita ini.Bak kata pepatah Melayu;sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.Rugi di dunia hanya sementara.Seorang yang muflis di dunia tidak mustahil mampu untuk menjadi jutawan pada masa akan datang.Tetapi rugi di akhirat beerti rugi selama-lamanya.Tiada lagi peluang untuk diri kita mengumpul aset-aset kebaikan untuk dijadikan harta yang akan menyelamatkan kita daripada api neraka.Mulai sekarang,kumpullah seberapa banyak aset-aset kebajikan dan rebutlah peluang berbuat kebaikan selagi umur masih bersisa.Firman ALLAH Azza Wajalla dalam ali-Imran ayat 133,mafhumnya:

Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa“.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: