Ramadhan:Masa Untuk Berubah

Hari ini masuk hari kedua kita berpuasa.Di Mesir,kegembiraan rakyatnya menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak jelas terpancar apabila kebanyakan mereka mengambil cuti hari pertama Ramadhan semalam.Semalam 2 buah kedai buku terkenal di Mesir;Maktabah Al-‘Ilam dan Maktabah Darus Salam tutup.Saya agak kepenatan petang semalam kerana saya bergerak ke kedua-dua buah maktabah ini untuk mencari kitab Asas fi Tafsir karangan Said Hawa.Kitab ini dipesan oleh abang ipar saya yang merupakan graduan Universiti al-Azhar.Mudah-mudahan ada pahala di sisi ALLAH dengan usaha yang kecil ini.

Bagi orang yang beriman,kegembiraan mereka menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak bukan sekadar mengambil cuti pada hari pertama Ramadhan atau memutarkan lagu-lagu mengenai Ramadhan atau mengirim email dan sms ucapan salam Ramadhan bahkan ada perkara yang lebih besar daripada itu semua.Firman ALLAH Azza Wajal dalam surah al-Baqarah ayat 183:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”

Ayat di atas menjelaskan secara jelas tujuan utama kenapa kita semua diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan.Ayat ini dimulakan dengan seruan atau panggilan ke atas untuk orang-orang beriman.Maka,sesiapa sahaja yang mengaku beriman sudah pastinya akan terpanggil dengan seruan ini.Oleh itu,kita sebagai orang yang mengaku beriman mestilah medengar,melihat,membaca dan melaksanakan titah perintah ALLAH Azza Wajal seterusnya kepada kita dalam ayat di atas iaitu kita diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan.Adakah dalam ayat di atas ALLAH menyuruh kita berpuasa sahaja?Tidak!Cuba kita baca dan hayati elok-elok.Terdapat titah perintah ALLAH yang lebih besar daripada berpuasa itu sendiri iaitu ALLAH Azza Wajal memerintahkan kita agar menjadi orang bertaqwa hasil daripada puasa itu sendiri.Inilah titah perintah yang sukar dilaksanakan oleh kita semua.Betapa ramai yang berpuasa tetapi dalam masa yang sama masih lagi melakukan maksiat dan dosa kepada ALLAH Azza Wajal.

Sebab itulah Syeikh Said Hawa ketika mentafsirkan lafaz “la’alla” di atas ianya membawa maksud ta’kid yakni “kamu mesti atau pasti” akan menjadi orang-orang bertaqwa.Sebahagian daripada mufassirin mentafsirkan lafaz “la’alla” dengan maksud ‘mudah-mudahan’.Tetapi Syeikh Said Hawa agak berbeza dari sudut penafsirannya.Beliau mengatakan jika kita semua tidak dapat menjadi orang bertaqwa pada bulan Ramadhan dan bulan-bulan selepasnya,maka tiada puasa bagi kita.Dalam erti kata lain,kita sebenarnya tidak berpuasa.Setelah direnung,ada betul juga penafsiran ini berdasarkan hadis-hadis nabi s.a.w. di bawah ini:

Rugilah sesiapa yang mendapat Ramadhan tetapi tidak diampunkan oleh ALLAH Azza Wajal ke atasnya“(Riwayat Bukhori)

Pernah suatu ketika ketika Nabi Muhammad hendak naik tangga ke atas mimbar,baginda berkata,”amin” pada tangga pertama.Kemudian baginda melangkah ke tangga kedua baginda berkata lagi “amin”.Kemudian baginda melangkah lagi ke tangga ketiga baginda mengulangi lagi “amin”.

Maka para sahabat bertanya.”Kenapa engkau berkata amin, amin, amin,(sebanyak tiga kali) wahai Rasulullah?” Nabi Muhammad bersabda:

“Telah datang malaikat Jibril kepadaku dan ia berkata : ‘Celakalah seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’.

Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Celakalah seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’ “.

Kemudian Jibril berkata lagi.’Hai Muhammad celakalah seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’.”[Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad dan dinilai Sahih Lighairihi oleh al-Albani di dalam Sahih Adab al-Mufrad – no: 644].

Maka,daripada apa yang disebutkan di atas menjadi kewajipan kita untuk berusaha menjadi orang-orang yang bertaqwa di bulan Ramadhan ini.Dalam erti kata lain,di bulan Ramadhan inilah masanya untuk kita berubah.Berubah daripada seorang yang lemah imannya kepada teguh imannya,daripada amalan soleh yang sedikit kepada amalan soleh yang berlipat kali ganda.Maka di bawah ini saya menggariskan beberapa perubahan besar yang perlu dilaksanakan oleh diri kita semua:

1)SOLAT

Inilah perkara pertama sekali yang perlu diubah kerana ianya merupakan binaan asas kedua terpenting kepada diri seseorang muslim selepas syahadatain(mengucap dua kalimah syahadah) berdasarkan hadis nabi s.a.w yang masyhur dalam kalangan kita:

Islam dibina atas lima perkara:penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad itu pesuruh ALLAH,mendirikan solat…ila akhir hadis”(Muttafaqun Alaih)

Maka,di bulan Ramadhan ini,pastikan 5 solat fardhu kita dilaksanakan dengan sebaik mungkin iaitu mestilah ditunaikan secara berjemaah di masjid.Lebih-lebih lagi solat fajar atau subuh kerana pada bulan-bulan sebelum ini solat inilah yang sukar dilaksanakn oleh kita secara berjemaah.Maka,kesempatan kita bangun bersahur mestilah digunakan sebaik mungkin dengan tidak tidur selepas sahur.Perbuatan tidur selepas bersahur ini satu perbuatan yang buruk kerana disebabkannya ramai yang terlepas berjemaah solat Subuh di masjid.Sebenarnya di sini ada beberapa masalah antaranya ada sesetengah daripada kita yang bersahur terlalu awal sehingga menyebabkan rasa mengantuk dan terlelap akibat kepenatan menunggu waktu subuh masuk.

Sebenarnya hal ini bercanggah dengan sunnah nabi s.a.w yang menyuruh kita melewatkan bersahur berdasarkan hadis sohih riwayat Bukhori yang mana sahabat menceritakan bahawa kadar jarak masa antara sahur yang dilakukan nabi s.a.w. dengan azan ialah dengan kadar 50 ayat(yakni jarak masa menghabiskan pembacaan 50 ayat al-Quran secara biasa).

Begitu juga dengan solat sunat,jika sebelum ini kita malas untuk menunaikannya,maka hendaklah kita memperbanyak solat-solat sunat.Jangan sekali-sekali kita terlepas melaksanakan solat tarawih.Saya agak terkejut apabila salah seorang rakan saya tidak menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadhan di masjid semalam kerana tidur di rumah.Semoga ALLAH memberi hidayah dan taufik kepadanya.Adalah lebih cantik jika kita tidak terlepas melaksanakan solat sunat rawatib sebanyak 12 rakaat.Dalam erti kata lain,perbanyakkan sebanyak-banyak mungkin solat-solat sunat seperti solat tahajjud,solat taubat,solat dhuha,solat rawatib dan sebagainya.

2)MEMBACA AL-QURAN

Sebagaimana yang pernah saya sebut dalam artikel sebelum ini,bulan Ramadhan merupakan bulan di mana diturunkan al-Quran.Maka di bulan ini kita mestilah memperbanyakkan amalan membaca al-Quran.Paling kurang kita mestilah mengkhatamkan bacaan al-Quran sekali dalam bulan ini.Sebenarnya peluang dan masa di bulan Ramadhan ini untuk kita membaca al-Quran cukup banyak dan luas.Paling senang kita tetapkan setiap kali selepas solat fardhu masa untuk kita membaca al-Quran.Umpamanya solat Subuh,Zuhur dan Asar;kita tidak lagi di bulan ini bersarapan,makan tengah hari dan minum petang,maka gunakan masa yang sebelum ini digunakan untuk mengisi perut kita untuk membaca al-Quran bagi mengisi pula jantung hati kita.

Selain daripada kita cuba mengkhatamkan al-Quran,dalam masa yang sama kita mestilah tadabbur ayat-ayat al-Quran dengan memahami apa yang disebutkan dalam al-Quran.Maka,carilah masa sebentar untuk kita membuka terjemahan al-Quran atau mana-mana tafsir agar kita dapat memahami al-Quran dengan sebenar-benarnya.

3)MENJAGA DIRI DARIPADA PERBUATAN DAN PERKATAAN YANG BURUK

Hal ini berdasarkan hadis qudsi,nabi bersabda:

“…Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa…“(Riwayat Bukhori)

“”Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya” (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 – Fath al-Bari).

Maka,daripada hadis ini,mestilah kita menjauhi daripada bercakap daripada perkara-perkara keji dan buruk apatah lagi jika perkara yang diungkapkan itu umpatan atau tuduhan palsu.

Beberapa ulama seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof. Dr Muhd Uqlah Ibrahim (Ulama Fiqh di Jordan) serta lain-lainnya berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda.,dosa juga boleh berganda di bulan mulia ini.

Sebenarnya perkataan yang buruk dan keji boleh juga diwakili oleh penulisan-penulisan yang keji dan buruk dalam ruangan internet.Sekarang ini begitu meluas sekali perkataan-perkataan yang tidak sesuai dan langsung tidak mencerminkan dirinya seorang muslim di internet terutamanya di ruangan-ruangan komen blog terutama blog agama dan politik dan juga Facebook.Ingatlah setiap apa yang kita tulis di internet akan dikira dan dihitung oleh ALLAH Azza Wajal di hari akhirat nanti.

Saya juga terasa terpanggil untuk mengulas mengenai isu semasa yang membabitkan seorang tokoh agama dan politik di Kelantan yang saya segani.Media-media massa terutamanya media cetak iaitu akhbar telah melemparkan pelbagai tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas kepada beliau sedangkan beliau telah menjelaskan kepada sidang media mengenai perkara sebenar.Bagaimanapun media-media yang berkepentingan terus-menerus menyerang peribadi tokoh ini.Saya menasihati kepada pihak-pihak yang yang menguasai media agar berhenti daripada perkara yang jelas bertentangan dengan agama.Ingatlah akan firman ALLAH Azza Wajal dalam surah al-Ahzab ayat 58 yang bermaksud:

Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata“.

Kepada kita yang sering membaca berita di dada-dada akhbar,janganlah kita menerima bulat-bulat laporan yang dibuat oleh mana-mana akhbar tanpa kita menyemak terlebih dahulu kepastian dan kesahihahn berita tersebut.Firman ALLAH Azza Wajal:

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”(surah al-Hujurat,ayat 6)

Menurut istilah ulama hadis,orang fasik ialah orang yang tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil.Maka,pada hari ini entah berapa ramai yang dikategorikan sebagai orang fasik.Begitu juga dengan akhbar-akhbar,sudahlah isi-isi yang dimuatkan dalamnya tidak menepati syarak,berapa banyak pula dengan tangan-tangan wartawan yang fasik yang menulis laporan-laporan dalam akhbar.Oleh itu,sebelum menghukum sesuatu,sedikilah terlebih dahulu apa-apa sahaja berita yang datang kepada kita agar nanti tidak ada orang yang teraniaya atas perbuatan kita.

Saya juga ingin meberikan nasihat,walaupun saya bukanlah orang yang ‘alim dalam ilmu agama,tetapi sebagai seorang muslim saya terasa terpanggil untuk memberi nasihat kepada ahli-ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.Bukankah Saidina Abu Bakr dan Umar r.a.huma pernah mengingatkan rakyatnya ketika mereka menjadi khalifah agar menegur mereka apabila mereka melakukan kesalahan?Nasihat ini adalah bebas daripada sebarang kepentingan.Bebaskanlah Majlis Fatwa Kebangsaan ini daripada sebarang kepentingan politik.Bincang dan berilah fatwa-fatwa berhubung masalah-masalah umat yang begitu banyak ini seperti isu ISA dan sebagainya.

KESIMPULAN:

Banyak perkara yang perlu kita ubah.Mulakan dengan diri kita terlebih dulu kemudian barulah keluarga,masyarakat dan negara.Diri kita tidak akan berubah menjadi insan yang bertaqwa selagi mana kita mengubah diri kita ke arah itu.ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubahnya.Jangan kita sia-siakan peluang Ramadhan ini untuk kita berubah kerana kita tidak pasti sama ada kita masih lagi sempat untuk bertemu dengan Ramadhan tahun hadapan.Oleh itu,tibalah masanya untuk kita berubah.

Leave a comment