Suasana Ramadhan Yang Dirindui

Kali ini kali ketiga saya menulis berkaitan Ramadhan.Bukan kerana kekeringan isu atau idea,tetapi mengambil kira bulan Ramadhan yang hanya datang sekali dalam setahun.Jadi,rasanya elok kita sentiasa menilai dan memuhasabah diri kita sebelum Ramadhan kali ini berlalu.Alhamdulillah saya tiba di Malaysia pada hari Khamis lalu dan berada di negara tercinta ini hampir enam hari.Mulanya,terasa berat kaki untuk meninggalkan sekejap bumi Mesir.Mujurlah ia diubati dengan kegembiraan dan kerinduan bertemu dengan keluarga tersayang.

Sebenarnya saya sempat untuk merasai suasana Ramadhan di Mesir selama beberapa hari buat pertama kali.Saya cukup terpegun dengan suasananya yang berbeza sama sekali dengan di Malaysia.Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman yang tidak seberapa ini mengenai suasana Ramadhan di Mesir.Di sana,menjelangnya 10 hari terakhir bulan Syaaban saya mula perasan mengenai persediaan yang telah dilakukan oleh masyarakat Mesir akan ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak.Rata-rata masjid didapati mula menukar karpet-karpet lama dengan yang baru.Ada juga masjid dicat dengan cat yang baru dan ditambah dengan peralatan-peralatan baru.

Di tepi-tepi jalan,para peniaga mula menjual begitu banyak sekali tamar(kurma kering),aprikot,pelbagai jenis kacang,kismis dan sebagainya.Paling terkejut apabila di Mesir ini,dijual begitu banyak fanus(tanglung) sempena bulan Ramadhan.Jika di Malaysia,ia hanya digunakan oleh masyarakat Cina.Ramai yang membelinya dan menggantungkannya di rumah masing-masing.

Apabila masuk sahaja malam pertama Ramadhan,kebanyakan orang Mesir saling mengucapkan “kullu sanah wa antum bikhoir” atau “kullu ‘aam wa antum bikhoir”.Saya tidak terkecuali diberikan ucapan itu sempena ketibaan Ramadhan oleh seorang pemandu teksi semasa saya berada di dalam teksinya.

Solat tarawih di sini pula kebanyakannya 8 rakaat.Ada yang habis cepat dan ada yang lama.Yang lam, imam biasanya membaca sebanyak satu maqra atau satu hizb untuk satu rakaat.Bagi yang pertama kali,memang akan rasa penat dan letih.Tapi,alhamdulillah kebanyakan imam di sini mempunyai suara-suara yang merdu.Umpamanya di tempat saya,suara imam,Dr Kholid Abu Syadi mempunyai suara yang seiras dengan Syeikh Misyari al-Afasi.Bila mendengarnya suaranya seakan-akan mendengar daripada kaset.Imam ini pula mudah tersentuh apabila membaca al-Quran ketika solat.Pernah beberapa kali beliau menangis apabila  membaca ayat berkenaan azab.Beliau juga seorang yang pandai berdoa.Kebanyakan orang Mesir akan menangis teresak-esak apabila beliau berdoa qunut ketika solat witir.Satu keadaan yang sukar didapati di Malaysia.Di Mesir ini juga,tiada selawat yang dilakukan antara solat tarawih dan kebiasaannya akan diadakan tazkirah selama 5 atau 10 minit selepas 4 rakaat solat tarawih.Solat tarawih akan disambung semula selepas berakhirnya tazkirah tersebut.

Menurut sahabat Mesir saya,Dr Muhammad,pada 10 malam terakhir,imam yang saya sebutkan di atas akan membuat solat tahajud bermula pukul 12 malam sehingga pukul 3 pagi.Beliau akan menghabiskan sebanyak 3 juzuk dalam solat tahajud  bagi satu malam.Selama 10 malam terakhir itu,satu al-Quran akan dikhatamkan dalam solat tahajud.Saya tidak dapat bayangkan berapa lama perlu berdiri dan bertahan.Tetapi jemaah di sana tetap penuh bahkan lebih ramai daripada awal dan pertengahan Ramdhan kerana mereka tahu dan sedar bahawa pada 10 malam terakhir terdapatnya Lailatul Qadr,malam yang jika beribadat padanya lebih baik daripada beribadat selama seribu bulan.

Jika di Malaysia,kita ada moreh selepas solat tarawih tetapi di Mesir di kebanyakan tempat mempunyai hidangan yang dipanggil “maaidatul rahman” iaitu hidangan berbuka yang disediakan untuk semua orang tidak kira sama ada kaya atau miskin,kecil ataupun tua.Maka bulan Ramadhan menjadi bulan rahmat kepada fakir miskin yang sebelum ini susah untuk mendapatkan makanan,di bulan ini mereka dijamu selama sebulan secara percuma.Ada juga pelajar-pelajar Malaysia yang malas untuk memasak untuk berbuka turut serta dalam merasai hidangan ini.Menurut sahabat saya,ada di setengah tempat yang menghidangkan ayam kentaki untuk hidangan berbuka ini.Bila difikirkan balik,konsep yang diamalkan oleh masyarakat Mesir lebih menepati sunnah nabi kerana pahala menyediakan makanan untuk orang lain berbuka puasa adalah sama dengan pahala orang yang berpuasa.

Saya pernah sebut dalam artikel sebelum ini bahawa bulan Ramadhan ialah bulan al-Quran kerana ia diturunkan pada bulan ini.Di Mesir,mereka cukup memahami akan hal ini.Maka tidak hairanlah jika kita akan mendapati rata-rata masyarakat Mesir membawa al-Quran di mana-mana sahaja.Bayangkan adakah kita pernah ternampak di Malaysia seseorang yang membaca kitab al-Quran yang sederhana besarnya di dalam bas ataupun komuter?Mungkin ada yang pernah ternampak,tapi amat jarang sekali.Di Mesir,perkara sebegitu biasa dan menjadi amalan mereka.Mereka akan cuba mengkhatamkan sebanyak mungkin al-Quran.

Bagaimanapun di Malaysia,keadaan begitu berbeza sekali.Saya semasa hari-hari awal saya berada di Malaysia,saya sempat masuk ke Megamall di Kuantan.Terkejut sekali apabila sudah didendangkan lagu-lagu raya sedangkan Ramadhan masih di permulaan.Rata-rata orang mula sibuk memikirkan persediaan untuk Hari Raya Eidul Fitr.Jika pada awal Ramadhan masjid dipenuhi dengan jemaah semasa solat tarawih,tetapi di 10 malam terakhir tinggal saf untuk imam dan bilal sahaja serta beberapa kerat orang yang sudah pun pencen.Semuanya pada masa itu sudah tidak sabar-sabar lagi menantikan dengan kehadiran Eidul Fitr.Bulan Ramadhan seolah-olah sekadar satu jarak masa untuk menunggu hari raya.Ramai yang mengsia-siakan peluang yang terbentang luas untuk mendapat keampunan dan rahmat ALLAH pada bulan Ramadhan ini.

Oleh itu,saya menyeru diri ini dan siapa sahaja yang berkesedaran akan hal ini,supaya berusaha sedaya upaya untuk mengubah suasana ini agar masyarakat lebih memahami akan kepentingan dan kelebihan bulan Ramadhan ini melebihi segala bulan serta agar diri ini tidak lagi merindui suasana Ramadhan di negara orang.

.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: