Kesedihan Meninggalkan Ramadhan Diubati Dengan Eidul Fitr

Hari ini berkemungkinan hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa namun keputusannya hanya akan diketahui secara rasmi hari ini selepas kaedah Rukyatul Hilal(melihat anak bulan) dilakukan di pelbagai tempat di Malaysia.Jika sekiranya hari ini yang terakhir bermakna tiada lagi malam bulan Ramadhan yang dijanjikan dengan tawaran yang begitu lumayan yang dijanjikan ALLAH kepada kita semua iaitu akan diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu.

Sebagai seorang muslim dan mukmin yang mengetahui dan menghayati tentang ganjaran berlipat kali ganda yang disediakan ALLAH sudah pastinya akan berasa sayu dan sedih untuk berpisah dengan bulan Ramadhan al-Mubarak.Bagaimana mungkin seseorang itu mahu menolak pemberian harta;kereta,rumah,emas,pakaian berjenama daripada sultan atau raja yang diberikan setiap hari selama sebulan kepadanya?Begitu juga dengan Ramadhan,bagaimana mungkin seseorang mukmin tidak sayu atau terasa terlepas dan berpisah dengan ganjaran-ganjaran yang sebenarnya lebih besar daripada tawaran harta yang disebutkan tadi daripada Sang Pencipta seluruh makhluk dan alam ini.

Ramadhan kali ini sudah tentu memberikan pelbagai makna dan kesan kepada diri kita semua.Ada yang bertambah-tambah imannya,atau sama sahaja imannya dengan bulan-bulan sebelum Ramadhan atau yang lebih merugikan bertambah kurang imannya pada bulan yang mulia ini.Marilah kita merenung sejenak satu hadis yang masyhur diriwayatkan oleh al-Imam Bukhori:

“Sia-sialah dan rugilah sesiapa yang melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosa ke atasnya”

Hadis ini meyebutkan secara jelas bahawa rugilah bagi mana-mana individu muslim yang diberikan kesempatan oleh ALLAH untuk hidup pada bulan Ramadhan tahun ini tetapi tidak melakukan amal soleh yang menyebabkan dirinya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.Mungkin di dunia ini kita tidak dapat merasai betapa besarnya rahmat ALLAH yang menawarkan keampunan ke atas dosa-dosa kita yang telah lalu.Tetapi bayangkanlah sekiranya kita di dunia ini tidak mendapat apa-apa habuan dunia,kita seorang yang papa kedana,hidup sebatang kara dan mati tanpa orang ketahui pun tetapi kita pulang kepada ALLAH di akhirat kelak dengan diampunkan dosa-dosa kita,maka itu sesuatu nikmat yang cukup besar yang tidak terbanding nilainya yang lebih baik dari segala isi dunia.

Maka kita yang menyedari akan hakikat ini,marilah kita terus berdoa dan memohon kepada ALLAH agar diampunkan dosa kita pada akhir Ramadhan ini seeloknya dengan doa yang diajarkan nabi iaitu “ALLAHUMMA INNKA AFUWWUN TUHIBBUL AFWA FA’FU ‘ANNi”(yang bermaksud Ya ALLAh,sesungguhnya engkau Maha Pemaaf,sukakan kemaafan maka maafkanlah aku).

Alhamdulillah,ALLAH Azza Wajalla yang bersifat Maha Mengasihani dan Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui akan hakikat mukmin sejati yang akan berasa sedih dengan pemergian Ramadhan,dikurniakan olehNya satu hari yang dinamakan Eidul Fitr bagi mengubati rasa sedih dan pilu di hati para mukminin.Maka,pada hari raya inilah orang yang beriman akan raikan sebagai hari kemenangan kerana telah berjaya membina benteng kukuh bagi menahan diri dari semua perkara yang boleh membatalkan puasa dan mencacatkan termasuklah perkara halal yang  dibenarkan pada bulan lain untuk dilakukan tetapi pada bulan Ramadhan dilarang iaitu makan,minum dan bersetubuh dengan isteri.

Bahkan hari raya sebenarnya bukanlah hari untuk kita bersedih sebagaimana yang digambarkan oleh sebahagian lagu-lagu raya,cerita-cerita raya di tv bahkan irama takbir raya negara kita yang menyedihkan sebaliknya pada hari raya ini kita dibenarkan untuk bergembira dan meraikan hari raya dengan kadar-kadar yang dibenarkan oleh syarak.Hal ini di mana nabi SAW pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :

دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد

Ertinya : “Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya” ( Riwayat Al-Bukhari)

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA

Di bawah ini beberapa amalan sunnah yang diamalkan oleh nabi s.a.w. semasa hari raya Eidul Fitr dan di bulan Syawal,antaranya:

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : “Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.

2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…”

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah “Taqabbalallahu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya  dan aku katakan pada baginda “taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka” ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5)Memakai pakaian terbaik yang ada:

Walaupun demikian,perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal

6)Menukar jalan ke tempat solat(balik dan pergi)

Ia berdasarkan hadis dari Jabir r.a. yang menyebut bahawa nabi s.a.w. biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya(Riwayat Bukhori)

7)Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi

8)Berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal

Hal ini berdasarkan hadis nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam sohihnya,kitab al-Shiyam,hadis ke 1164:

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun”

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA

Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan ‘chat’, berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Semoga kita semua meninggalkan Ramadhan kali ini dengan membawa ruhnya ke dalam bulan-bulan yang lain dan terus beristiqamah dengan amalan-amalan yang telah dilakukan pada bulan Ramadhan.Akhirnya,saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITR 1430H kepada semua pelawat yang melayari blog ini.TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM.Semoga ALLAH menerima amalan kita dan amalan kamu semua.

Sumber:

1.Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

2.Buku ‘Menyambut Ramadhan dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasululullah s.a.w.’ oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus




Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: