Usah Tergopoh-Gapah

  1. Pada Khamis yang lepas,satu Roadshow Palestin telah diadakan di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah yang dianjurkan oleh Aman Palestin dengan kerjasama ISMA Mesir dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah(JPMK).Dalam program ini,satu forum perdana telah diadakan di mana dua orang ahli panel dijemput khas dari Malaysia iaitu Prof.Madya Dr Zainur Rasyid dan Mejar Nazri.Kedua tokoh ini merupakan antara yang bergiat aktif dalam pertubuhan Aman Palestin.
  2. Dalam forum ini,kedua-duanya telah menerangkan dengan baik mengenai isu yang berkaitan dengan Palestin.Apa yang membuatkan saya benar-benar tertarik adalah daripada pengalaman Dr Zainur Rasyid yang pernah belajar di Ireland dalam bidang perubatan.Menurut beliau,pelajar dari Palestin yang belajar di sana merupakan pelajar yang sangat cemerlang dalam bidang akademik yang mana setiap tahun mendapat anugerah Gold Medal(pelajar terbaik) daripada universiti di sana.Begitu juga terdapat doktor pakar bedah terbaik di Ireland yang merupakan warganegara Palestin.Dr Zainur Rasyid telah menegaskan bahawa perjuangan itu bukan sekadar mengangkat senjata bahkan mengembalikan kegemilangan umat Islam dalam semua bidang ilmu seperti perubatan,kejuruteraan,falak dan pelbagai lagi.

    Dr Zainur Rasyid ketika misi kemanusiaan

  3. Dalam forum ini juga,seorang pelajar telah menimbulkan perkara berkaitan dengan kejemuan masyarakat tentang isu Palestin.Menurutnya,hampir 10 tahun kita telah didedahkan dengan isu Palestin dan banyak sumbangan wang yang telah dihulurkan tetapi seolah-olah tiada perubahan dan masa depan yang dapat dilihat.Saya ingin ulas sedikit mengenai hal ini.
  4. Kita mengetahui bahawasanya isu Palestin ini bukan sekadar isu yang melibatkan bangsa Arab semata,bahkan ianya merupakan isu umat Islam khususnya dan seluruh masyarakat dunia amnya.Kita mengetahui bahawasanya di Palestin terdapatnya Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam,tempat yang disinggahi Nabi Muhammad s.a.w. ketika perisitiwa Israk Mikraj serta masjid ketiga paling mulia di sisi Islam.Tanah Palestin juga merupakan tempat kelahiran dan perjuangan para nabi terdahulu.
  5. Seterusnya kita harus faham bahawasanya negeri Palestin sentiasa menjadi rebutan sejak dari dahulu lagi antara 3 agama samawi;Islam,Kristian dan Yahudi.Berdasarkan sejarah lampau sehingga masa kini,sesiapa yang dapat menguasai Palestin,maka dia akan menguasai.Ini sebagaimana yang diungkapkan oleh Salahuddin Al-Ayyubi,seorang tokoh panglima perang Islam yang dapat menawan kembali kota Palestin daripada cengkaman Rom pada masa itu.Namun kini,kita mengetahui bahawasanya bumi Palestin ini telah terlepas ke tangan orang lain.
  6. Kita sering-sering tertanya-tanya juga,bilakah bumi Palestin ini akan jatuh ke tangan umat Islam kembali?Adakah 10 tahun lagi?Atau mungkin lebih lama daripada itu?Persoalan ini sebegini sebenarnya tidak penting untuk resah difikirkan tetapi apa yang lebih penting daripada itu apakah usaha kita ke arah mengembalikan bumi Palestin ke tangan umat Islam?Berapa banyak sumbangan yang telah disumbangkan untuk rakyat Palestin?Sejauh manakah kita cuba menyampaikan kesedaran mengenai isu Palestin kepada rakan-rakan dan keluarga kita?
  7. Satu persoalan yang sering bermain dalam benak pemikiran dalam kalangan mereka yang berjuang untuk menegakkan agama ini lebih-lebih lagi pada akhir zaman ini;bilakah agama ini akan tertegak kembali sebagaimana pada zaman Rasululullah s.a.w. di Madinah?Bilakah penderitaan dan kesengsaraan akan berakhir?Di manakah janji ALLAH terhadap mereka yang berjuang menegakkan agamaNya?
  8. Untuk itu,saya ingin menyebut satu hadis nabi s.a.w. yang bermaksud:“Daripada Abdillah Khabbab bin Art r.a. berkata:kami telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. yang mana pada ketika baginda sedang berselimut dengan selendang di bawah naungan Kaabah lalu kami pun berkata:Tidakkah kamu akan menolong kami,tidakkah kamu akan berdoa untuk kami(supaya dipercepatkan kemenangan Islam)?Maka Rasulullah s.a.w. berkata:Sesungguhnya ada seorang lelaki sebelum daripada kamu telah dibawa dan ditimbus dalam tanah,kemudian dibawakan gergaji serta diletakkan di atas kepalanya lalu terbelah menjadi dua,(kemudian)disikat dengan sikat besi sehingga tercabut daging daripada tulangnya,namun hal itu tidak pernah menghalang daripadanya untuk berpaling daripada agama.Demi ALLAH,ALLAH akan menyempurnakan urusan(agama)ini sehingga orang yang menaiki kenderaan daripada San’a ke Hadramaut tidak akan takut melainkan kepada ALLAH dan serigala(yang akan menggangu) akan kambingnya.Tetapi kamu semua(wahai Khabbab)termasuk daripada golongan yang tergopoh-gapah.(Riwayat Bukhori)
  9. Dalam hadis di atas,Khabbab bin Art merupakan salah seorang sahabat yang kuat diseksa ketika zaman Mekah.Beliau merupakan seorang tukang pembuat besi dan dikatakan daging di belakangnya telah masak akibat diseksa dengan teruk oleh orang Musyrikin Mekah.Oleh sebab itulah,beliau telah datang mengadu kepada Rasulullah s.a.w. agar dipercepatkan sedikit kemenangan Islam.Bagaimanapun,lihatlah bagaimana Rasulullah memberikan jawapan yang terakhir kepadanya iaitu dengan menyatakan bahawasanya Khabbab itu termasuk daripada mereka yang tergopoh-gapah.
  10. Banyak pengajaran dapat kita ambil daripada hadis ini.Bagaimana seorang sahabat yang telah diseksa teruk oleh orang Musyrikin Mekah tetapi tetap diklasifikasikan sebagai orang yang tergopoh-gapah dalam perjuangan?Bagaimana pula dengan kita sekarang?Adakah tindakan,usaha,pengorbanan harta,jiwa darah dan masa yang telah kita korbankan telah setimpal untuk membuktikan pejuangan kita benar-benar masak?
  11. Oleh itu,dalam isu Palestin ini,kita tidak seharusnya sibuk bertanya bilakah rakyat Palestin akan mendapat balik tanah air mereka sebaliknya tumpukan usaha kita untuk membantu mereka sedaya mungkin.Percayalah perjuangan akan mencapai kemenangan apabila tiba masanya dan benar-benar masak dengan adunan yang sebati daripada ruh dan jiwa para mujahid.
  12. Yakinlah bahawasanya pertolongan ALLAH itu amat hampir dengan kita selagi mana kita ikhlas dalam berjuang.Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 214:”Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. ”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: