Pengorbanan Bukan Sekadar Di Bibir

  1. Kita masih lagi berada di bulan Zulhijjah di mana difardhukan di dalamnya menunaikan haji di Makkah bagi mereka yang berkemampuan.Semasa musim ini saban tahun,kita sering kali dihidangkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dengan anaknya Nabi Ismail a.s yang telah termaktub dalam al-Quran surah as-Saffat.Ramailah daripada kita yang bercerita mengenai kisah ini dengan pelbagai olahan dan gaya penceritaan.Ada yang berbentuk serius dan ada juga yang santai.Namun,malangnya kita dapati ia tidak lebih sekadar di bibir sahaja.Ruh dan semangat pengorbanan sebenar tidak dapat dilihat dalam kehidupan kita seharian.Maka,jadilah kita seperti mayat yang tidak mempunyai ruh pengorbanan dan perjuangan;lesu dan layu di medan dunia.Hal ini sangatlah malang bagi kita kerana rata-rata daripada kita mengetahui sesuatu ilmu tetapi tidak mempunyai semangat untuk mengamalkannya.Ilmu itu jika tidak diiringi dengan semangat maka jadilah ia seperti bunga yang layu dan  semangat jika tidak dibekalkan dengan ilmu maka akan menjerumus kepada kesilapan dan kesesatan.
  2. Apa sebenarnya yang membuatkan Nabi Ibrahim sanggup untuk menyembelih anaknya sendiri dan Nabi Ismail rela untuk disembelih oleh bapa kandungnya sendiri?Jawapannya tidak lain tidak bukan,kerana akidah dan keimanan mereka kepada ALLAH begitu tinggi.Mereka di samping mengesakan ALLAH dalam kewujudannya,mereka membulatkan seluruh kesetiaan,kepatuhan,ketaatan,cinta yang mutlak hanya semata-mata untuk ALLAH.Apa sahaja yang diperintahkan oleh ALLAH mereka ikut tanpa soal bicara dan apa sahaja larangan daripada ALLAH mereka tinggalkan tanpa rasa berat dan beban di hati mereka.Inilah sebenarnya rahsia yang menjadi titik tolak kepada pengorbanan mereka.Perkara inilah yang tidak dimiliki oleh kita pada hari ini dengan begitu kuat.Sebab itulah,sebelum kita menyeru kepada seruan pengorbanan,serulah terlebih dahulu kepada akidah dan keimanan kepada ALLAH yang mutlak kepada ALLAH Azza Wajal.
  3. Oleh sebab itulah,lihatlah bagaimana Luqman menasihati anaknya dengan nasihat yang pertama supaya tidak mensyirikkan ALLAH. “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.“(surah Luqman,ayat 13).
  4. Jika hari ini,kita lihat ramai daripada ibu bapa yang tidak mengajar anaknya asas akidah yang sebenar.Sebagai contoh,ramai ibu bapa yang berpesan kepada anaknya supaya tidak melakukan perkara-perkara tidak elok kerana nanti akan memberi imej buruk kepada keluarga.Bukan tidak boleh untuk menjaga imej tetapi bukankah lebih utama kita berpesan kepada anak-anak supaya tidak melakukan perkara-perkara tidak elok kerana ianya ditegah dan dilarang oleh ALLAH,nanti kita akan mendapat dosa,dengan dosa itulah akan menjerumuskan kita masuk ke dalam neraka.Amat malang lagi apabila ada ibu bapa yang berpesan kepada anak-anak agar tidak melakukan sesuatu yang dapat menjatuhkan martabat dan ‘standard’ keluarga mereka.Ia bukan sahaja tidak mengajar prinsip akidah Islam bahkan mengajar anak-anak untuk bersikap takabur dan merendah-rendahkan orang lain.
  5. Oleh itu,berusahalah sedaya upaya untuk menanamkan dalam diri keimanan yang mutlak kepada ALLAH.Bagi ibu bapa,ajarlah anak-anak mereka sejak dari kecil lagi hal ini agar mudah untuk mereka memahaminya.Bak kata pepatah yang selalu disebut oleh kita,melentur buluh biarlah dari rebungnya.
  6. Saya ingin membawa sedikit kisah pengorbanan dan perjuangan hakiki lain yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bagi membuka mata kita bahawa pengorbanan itu tidak semudah yang difikirkan dan sesenang untuk diungkapkan dalam perkataan.Buktikan dahulu pada perbuatan.
  7. Semasa di peringkat dakwah Nabi s.a.w. di Mekah,kaum Musyrikin Qurasiy pernah membuat piagam untuk memulaukan Bani Hasyim dan Bani al-Mutallib daripada sebarang urusan kehidupan seharian seperti tidak akan berkahwin, bermesyurat,berkomunikasi,menziarahi,bergaul dengan keturunan Bani Hasyim dan al-Mutallib.Mereka menampal piagam tersebut pada pintu Kaabah.Disebabkan piagam inilah Rasulullah s.a.w. dan para sahabah telah menderita selama 3 tahun di Lorong Abu Talib sehingga diriwayatkan mereka terpaksa memakan daun-daun dan kulit-kulit kayu yang kering.Jikapun ada barang-barang keperluan di kedai,ia akan dijual dengan berlipat kali ganda.(sumber:Ar-Raheequl Makhtum edisi terjemahan,Al-Mubarakfuri,m/s:136&137).Bayangkanlah bagaimana mereka terpaksa berlapar dan makan daun dan kulit-kulit kayu yang ada.Jika di Mesir,ramai daripada pelajar Malaysia yang tidak sukakan dengan roti yang dinamakan dengan ‘eisy baladi’ tetapi bagi saya roti itu berkali ganda lebih baik daripada memakan daun dan kulit kayu.
  8. Selain itu,dalam peperangan Badar Kubra,sejarah telah merakamkan bahawa dalam peperangan ini bagaimana seorang bapa terpaksa membunuh anak sendirinya dan begitu sebaliknya kerana berbeza akidah dan pegangan.Prinsip yang memisahkan mereka dan pedang yang menceraikan mereka.Sebagai contoh,al-Farouq Umar al-Khattab telah membunuh bapa saudaranya,al-Aas b. Hisyam b. al-Mughirah.Begitu juga Abu Bakr as-Siddiq dalam peperangan ini telah melaungkan kepada anaknya Abdul Rahman yang bersama dengan kaum musyrikin dengan katanya: “Mana dia harta bendaku wahai si hodoh bedebah?”.Jawab Abdul Rahman: “Tiada yang tinggal selain kuda dan pedang buat membunuh si beruban tua.”( sumber:Ar-Raheequl Makhtum edisi terjemahan,Al-Mubarakfuri,m/s:305)
  9. Bagaimana?Setelah membaca kisah-kisah yang saya masukkan di atas,masih merasakan pengorbanan itu mudah?Atau sebenarnya sebenarnya kita hanya sekadar menghidu dari jauh bau-bau pengorbanan?Tetapi hakikatnya pengorbanan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabah yang mesti kita miliki.Firman ALLAH dalam surah at-Taubah ayat 23 dan 24: “Hai orang-orang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu menjadi pelindung(mu), jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka pelindung, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
  10. Cuba tanya diri kita sejauh mana kita telah berkorban.Dari segi masa,sejauh mana kita telah mengurangkan waktu tidur untuk kita menggunakan masa yang ada untuk menunaikan amanah dan kewajipan yang ditanggung?Sebagaimana kita selalu dengar,kewajipan itu lebih banyak dari masa itu sendiri.Sejauh manakah kita telah meninggalkan perkara-perkara yang kurang penting seperti main game,tengok movie,chatting berlebihan,memberi komen tidak diperlukan(dalam facebook), menjawab kuiz-kuiz tidak berfaedah dalam facebook dan sebagainya?
  11. Dari segi harta,banyak manakah yang telah kita sedekahkan,dermakan dan sumbangkan untuk rakyat Palestin,fakir miskin,anak-anak yatim dan mereka yang tidak bernasib baik?Adakah mendermakan satu ringgit daripada 100 ringgit yang ada dalam dompet dan beribu-ribu ringgit dalam bank layak dipanggil sebagai mereka yang telah berkorban dari segi harta mereka?
  12. Dari segi jiwa dan raga,sejauh manakah kita telah melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan secara jama’ie tanpa rasa beban dan terpaksa?Sekiranya ditakdirkan bumi yang kita duduki sekarang akan ditawan oleh orang kafir,adakah kita akan turun untuk bersama-sama umat Islam yang lain untuk berjihad(yakni berperang) pada jalan ALLAH?
  13. Renungilah setiap pertanyaan yang ditimbulkan ini.Sebenarnya kita masih terlalu jauh dengan makna dan erti perjuangan yang sebenar.Berhentilah daripada ditipu dengan dunia. “Orang-orang Islam yang disibukkan dengan dunia dan lalai daripada menyembah dan mentaati ALLAH adalah ibarat sekumpulan manusia yang sedang nyenyak tidur walhal berhampiran mereka terdapat api yang yang menyala dan akan membakar mereka”.(Dakwah Fardiyyah edisi terjemahan,Mustafa Masyhur,m/s 9).
  14. Akhir sekali,ingatlah bahawa pengorbanan yang kita lakukan itu tidak akan berlalu sia-sia,tetapi ianya akan dibalas dan digantikan oleh ALLAH dengan syurga.Buktikan pengorbanan kita dengan amalan bukan hanya di bibir! “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.”(surah at-Taubah,ayat 111)

2 Responses to Pengorbanan Bukan Sekadar Di Bibir

  1. era says:

    mntak izin utk share dlm risalah krohanian usm bleh..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: