Tinggalkan Perkara Tidak Berkaitan

Maksudnya:Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda:”Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya”. (Riwayat Tirmidzi & Ibn Majah)

  1. Hadis di atas merupakan hadis yang ke-12 daripada kitab Matanul Arba’inin Nawawiyah atau lebih dikenali sebagai kitab Hadis 40 yang disusun oleh al-Imam Nawawi r.h. (631-672H).Sebagaimana kita ketahui hadis yang disusun oleh al-Imam Nawawi r.h. dalam kitab ini merupakan hadis-hadis yang penting untuk difahami, dihayati dan diamalkan oleh umat Islam.Sebagaimana kata al-Imam Nawawi r.h. dalam mukadimah kitabnya: “Saya pula berpendapat bahawa untuk mengumpulkan 40 buah hadis hendaklah dilakukan berdasarkan kepada perkara yang lebih penting daripada itu. Iaitu dengan mengumpulkan 40 buah hadis yang mencakupi kesemuanya itu.Setiap hadis yang terkandung di dalamnya merupakan kaedah agama yang penting dan para ulama’ telah mensifatkannya sebagai paksi putaran Islam atau sebagai separuh atau sepertiga daripada Islam dan seumpamanya”.
  2. Hadis yang ke-12 ini merupakan salah satu contoh hadis yang menunjukkan ucapan nabi yang ringkas dan pendek tetapi padat dan penuh dengan makna serta maksudnya. Inilah yang dinamakan sebagai  جوامع الكلام (jawami’ul kalam). Hal ini kerana menurut sebahagian ulama’  hadis ini telah menghimpunkan separuh daripada agama ini kerana kandungan agama ialah melaksana dan meninggalkan sesuatu.Hadis ini telah menyatakan sesuatu yang perlu ditinggalkan.
  3. Apakah faedah yang dapat diperolehi apabila kita beramal dengan hadis ini?Dengan beramal dengan hadis ini ia akan membawa kepada jalan keselamatan dan kejayaan.Tidak salah rasanya untuk saya kecilkan skop ini iaitu dengan beramal dengan hadis ini kita akan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang akan menjelang tidak lama lagi khususnya kepada pelajar-pelajar perubatan di Mesir ini.Tetapi bagaimana?
  4. Hadis ini mengatakan kita hendaklah meninggalkan perkara yang tidak berkaitan dengan diri kita.Dalam erti kata lain perkara itu bukan terletak padanya tugas,amanah dan tanggungjawab kita untuk melaksanakannya bahkan kemungkinan perkara itu tidak memberikan apa-apa faedah kepada kita jika dilakukan.Perkara sebeginilah yang akan melarikan dirinya daripada perkara yang sebenarnya yang berkaitan dengan dirinya iaitu perkara yang terletaknya padanya tugas,amanah dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi.Akibatnya perkara yang sepatutnya dilakukan terabai akibat daripada melakukan terlampau banyak perkara yang tidak berkaitan dengan diri kita.
  5. Sebagai contoh,sebagai seorang pelajar,matlamat kita adalah untuk mendapatkan ilmu sebanyak mungkin,cemerlang dalam peperiksaan seterusnya menjadi orang berilmu yang dapat memberikan sumbangan kepada orang lain.Sudah tentu matlamat sedemikian bukan mudah untuk dicapai tetapi tidak mustahil untuk dikecapi.Secara logik,jika ingin menjadi orang berilmu sudah tentu kita mesti sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu atau kuliah di univesiti,berbincang secara berkumpulan dengan rakan-rakan mengenai subjek tertentu,membuat nota serta latihan dan lain-lain perkara yang dapat menambahkan ilmu.Jika sekiranya masa kita lebih dipenuhi dengan perkara yang tidak berkaitan dengan ilmu seperti main games,tengok movie,jalan-jalan,window shopping dan sebagainya lebih daripada menuntut ilmu,bagaimana mungkin untuk kita menjadi orang yang berilmu?
  6. Jangan salah faham dengan apa yang saya sebutkan di atas.Saya bukan mengatakan bahawa main games,tengok movie dan sebagainya itu tidak boleh langsung untuk dilakukan tetapi hendaklah dalam kadar minimum dan tidak melebihi masanya daripada masa untuk kita menuntut ilmu.Bagi saya seeloknya dielakkan dan ditinggalkan terus kerana perkara ini sebenarnya akan menyebabkan unsur ketagihan sebagaimana ketagihnya seseorang kepada rokok.

    Budak kecil Palestin mereka bermain dan membaling batu ke arah musuh ALLAH,kita?

  7. Apabila kita telah berjaya menghindarkan diri daripada perkara yang tidak berkaitan dengan kita,barulah kita akan dapat memberikan fokus kepada perkara yang dapat memberi manfaat kepada kita dan dengan fokus itu akan membawa kepada kejayaan dan kecemerlangan sama ada dalam aspek duniawi dan ukhrawi.
  8. Satu hakikat yang perlu difahami keperluan dan perkara yang diperlukan atas dunia ini sebenarnya terlalu sedikit jika dibandingkan keperluan kita di akhirat kelak.Manusia makan paling banyak 2 pinggan nasi sahaja dalam satu masa,manusia juga memakai hanya satu helai baju dan seluar dalam satu masa,juga manusia memandu satu buah kereta dalam satu masa.Tidak ada yang lebih daripada itu.Semuanya ini menunjukkan keperluan kita di dunia ini sebenarnya teramat sedikit dibandingkan di akhirat.Maka,apabila kita sedar akan hakikat ini,kita perlu tinggalkan perkara yang tidak sangat berkaitan dengan keperluan kita di akhirat kelak dan habiskan masa untuk merebut perkara yang berkaitan dengan keuntungan dan kebahagiaan kita di akhirat nanti.
  9. Antara contoh jelas perkara yang tidak berkaitan dan tidak perlu dilakukan oleh kita ialah berlebih-lebihan dalam percakapan.Termasuk juga berlebih-lebihan dalam menulis sesuatu artikel dalam blog memandangkan blog begitu popular masa kini dan rata-rata ingin menjadi juara penulis blog terbaik dan terkenal.Maka tidak hairanlah jika kita lihat ramai penulis blog yang sengaja memasukkan tajuk-tajuk artikel yang panas dan sentitif demi menarik pengunjung ke laman blognya.Lebih mendukacitakan lagi apabila dimasukkan dalam artikel berkenaan tohmahan dan fitnah ke atas pihak lain,perkataan-perkataan keji yang tidak disepatutnya ditulis oleh seseorang yang bergelar muslim serta hal-hal yang yang sebenarnya tidak perlu pun dimasukkan.
  10. Ramai dalam kalangan kita yang merasakan bahawa menulis artikel yang mengandungi perkataan keji, maki hamun,serta menghina orang lain adalah perkara yang biasa sedangkan apa yang dituliskan itu sebenarnya mencerminkan apa yang diucapkan di bibir dan kejernihan hati itu sendiri.Menulis itu sebenarnya umpama bercakap tanpa mengunakan kalam(lidah) sebaliknya menggunakan qalam(pena).
  11. Ingatlah bahawa satu hari sahabat Nabi s.a.w. Mu’az b. Jabal r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w:”Wahai Rasululullah s.a.w.,apakah kita akan diazab(dipersoalkan) dengan semua perkara yang kita bicarakan?Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: “Kamu ini wahai Mu’az!Apakah ada sesuatu yang akan menyembamkan muka manusia ke dalam neraka selain daripada hasil lidah mereka”.(Dalam kitab rujukan ini,tidak dinyatakan riwayatnya,bagi yang mengetahui boleh harap khabarkan)
  12. Akhir sekali,Nabi s.a.w. juga pernah bersabda: “Percakapan anak Adam adalah kerugian kepadanya kecuali amar makruf,nahi mungkar dan zikrullah”.(Dalam kitab rujukan ini,tidak dinyatakan riwayatnya,bagi yang mengetahui boleh harap khabarkan).Mudah-mudahan tulisan ini tidak tergolong dalam tulisan yang rugi dan sia-sia di sisi ALLAH s.w.t.Amin.

Kitab rujukan:Kitab Al-Wafi,Syarah Hadis 40 al-Imam Nawawi oleh Dr Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto

*Setelah membaca artikel ini,sebarkanlah perkara ini kepada orang lain kerana sabda Nabi s.a.w.:”Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat”(Riwayat Bukhori).Maka menjadi kewajipan kita untuk menyampaikan apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. kepada orang lain berdasarkan kemampuan masing-masing.Sabda  Nabi s.a.w.:”ALLAH akan mencantikkan wajah seseorang yang mendengar daripada kami sesuatu perkara kemudian dia menyampaikannya(kepada orang lain) sebagaimana yang didengari,dan boleh jadi orang yang disampaikan perkara tersebut lebih memahami daripada orang yang mendengar”(Riwayat Tirmizi,hassan sohih).Seterusnya,amalkan perkara yang disebutkan di atas dalam kehidupan kerana amal itu buah kepada ilmu yang kita perolehi.Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: