Seminar PERUBATAN Kali Ke-3

Sudah 2 minggu saya tidak menulis di sini.Sebenarnya untuk istiqamah dalam menulis artikel yang ilmiah ataupun bernada ilmiah agak susah.Ia tidak seperti mana menulis cerita-cerita peribadi kerana penulisan ilmiah memerlukan kepada kerahan pemikiran untuk mencari fakta dan menyusun fakta ditemui agar dapat difahami oleh semua orang.Tiada guna juga penulisan ilmiah tetapi tidak dapat difahami dengan baik oleh orang ramai.Sebab itu saya lebih suka menggunakan gaya penulisan berbentuk point.Mudah-mudahan ianya menjadi ringkas dan padat serta dapat difahami oleh pembaca.Insya Allah kali ini saya ingin berkongsi dengan pembaca program yang berjalan di sini semasa cuti musim sejuk baru-baru ini.Walaupun saya mungkin agak lambat dalam menulis mengenai seminar ini,tapi saya kira ilmu itu tidak terhad kepada waktu atau musim tertentu sebaliknya perlu sentiasa diulang-diulang setiap masa agar kita sentiasa ingat akan ilmu dan dapat mempraktikkannya.

SEMINAR PERUBATAN KALI KE-3

  1. Pada 17-18 Februari 2010 Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir(PERUBATAN) telah berjaya menganjurkan seminar kali-3 yang bertemakan Profesionalisme-Sahsiah Mahasiswa Perubatan Muslim Ke Arah Profesionalisme di Cairo University Conference Hall.
  2. Program ini telah disertai lebih kurang 610 peserta dari pelusuk Mesir sama ada Kaherah,Iskandariah,Mansurah,Zaqaziq serta Tanta.Apa yang lebih menarik dalam program ini ialah beberapa tokoh doktor perubatan dari Malaysia telah diundang untuk memberikan perkongsian kepada para pelajar perubatan di sini antaranya,Prof. Dr Mohamed Hatta Shaharom(Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya,CUCMS),Prof. Madya Dr Amaluddin b. Ahmad(Pakar Perunding Pediatrik) dan Prof. Dr Abdul Latiff b. Mohamed(Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya,CUCMS).Sebelum terlupa,saya ingin mengucapkan tahniah AJK Pelaksana Seminar Perubatan kali ini kerana telah berjaya mengadakan seminar dengan jayanya yang julung-julung kali menjemput tetamu-tetamu undangan dari Malaysia.
  3. Seminar kali ini berkisar dan tertumpu kepada tema Profesionalisme yang mesti dimiliki oleh pelajar dan pengamal perubatan.Alhamdulillah setiap daripada tetamu diundang(sebagaimana disebutkan di atas) telah mengupas tema ini dengan baik.Beberapa pengalaman yang dilalui oleh mereka telah dikongsikan serba sedikit kepada peserta dalam menempuh perjalanan mereka sebagai seorang pengamal perubatan Muslim.Ketiga-tiga tokoh ini alhamdulillah,saya lihat mempunyai ruh dan semangat Islam yang tinggi.Mereka merupakan antara contoh-contoh doktor perubatan Muslim yang ada di Malaysia yang berjaya dalam kerjaya mereka dalam masa yang sama tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan khalifah di bumi ini.Dalam kesibukan tugas sebagai doktor perubatan,mereka tetap menjalankan tugas berdakwah kepada masyarakat.Semoga Allah menetapkan kaki-kaki mereka dan kita semua di atas jalan Allah yang lurus!
  4. Hasil daripada semua sesi ceramah dan sesi perbincangan kumpulan semasa seminar kali ini,saya telah membuat kesimpulan mengenai ‘Profesionalisme’ untuk saya berpegang dengannya sampai bila-bila.Saya akan sebutkan secara ringkas dengan pembaca tentang kesimpulan ini.Saya mungkin dilihat lebih mengfokuskan terhadap pelajar dan pengamal perubatan tetapi sebenarnya isi-isi yang disebutkan ini boleh diaplikasikan oleh semua pihak.
  5. Apabila bercakap mengenai profesionalisme kita harus mengetahui makna perkataan ini.Mengikut kamus dewan perkataan ini membawa maksud “sifat-sifat(kemampuan,kemahiran,cara perlaksaan sesuatu dll)sebagaimana yang sewajarnya terdapat pada atau dilakukan oleh seorang profesional”.Erti profesional ini pula boleh kita terjemahkan sebagai seseorang yang betul-betul mahir dan melaksanakan bidang,profesion atau tugas yang telah ditetapkan olehnya.

    Bersama sahabat-sahabat dalam kumpulan perbincangan semasa seminar

  6. Untuk mencapai tahap profesional dalam apa jua bidang,seseorang itu pertama sekali perlu mengetahui dan faham secara jelas apakah tugas dan kerja yang dia perlu laksanakan.Mana mungkin pemain bola sepak yang profesional yang bermain pada posisi penyerang tidak tahu dan sedar bahawa tugasannya adalah untuk memastikan gol disumbat sebanyak mungkin.Begitu juga kita sebagai seorang pelajar dalam mana-mana bidang,kita perlu tahu dan sedar tentang peranan kita dalam mendalami ilmu yang berkaitan bidang yang kita ambil sebanyak mungkin.Hal ini sangat penting kerana kadang-kadang kala umpamanya pelajar perubatan dilihat seolah-olah ingin mendalami cabang ilmu agama seperti tafsir,hadis sedangkan dalam masa yang sama ilmunya mengenai bidang perubatan masih lagi terumbang-ambing.Tumpukan dulu kepada bidang ilmu yang kita takhassus(buat pengkhususan)sebelum terjun ke dalam bidang ilmu yang lain .Pemain bola di posisi penyerang sepatutnya tidak perlu sentiasa berada di bawah untuk bertahan,sebaliknya mereka perlu berada di atas bagi menjalankan tugasan mereka untuk menjaringkan gol.Ingatlah masing-masing telah ditaklifkan oleh Allah untuk menuntut ilmu yang dimudahkan kepadanya dan laksanakan taklifan ini sebaik mungkin.
  7. Kedua,mereka yang ingin menjadi profesional mereka perlu menguasai sepenuhnya skil,kemahiran yang diperlukan dalam bidang mereka.Pemain bola di posisi penyerang perlu mengasah dan menguasai skil sebaik mungkin dalam merembat bola ke pintu gol.Begitu juga sebagai pelajar perubatan,kita perlu menguasai secara mendalami ilmu perubatan serta menguasai skil-skil klinikal untuk digunakan semasa menjadi pengamal perubatan nanti.Pelajar jurusan arkitek pula umpamanya,mereka perlu menguasai skil untuk melukis pelan sesuatu projek dengan cepat dan tepat.
  8. Ketiga,setelah kita tahu akan tugas kita dan menguasai setiap ilmu yang perlu dimiliki,maka langkah yang terakhir untuk menjadi profesional ialah kita perlu melaksanakan tugas yang ditetapkan serta beristiqamah dengannya(berterusan melakukan tugasan kita).Saya sebenarnya tertarik dengan apa yang diperkatakan oleh Prof. Madya Dr Hassan Basri b. Awang Mat Dahan mengenai pandangan masyarakat Barat mengenai budaya profesionalisme dalam kerjaya mereka.Rata-rata mereka menganggap bahawa sikap profesionalisme itu terhad hanya di tempat-tempat kerja.Apabila tamat waktu bekerja,maka budaya profesionalisme yang ada dalam diri mereka dibuang sejauh-jauhnya.Inilah yang berlaku dalam dunia Barat.
  9. Maka,sebab itulah satu perkara lagi yang perlu dimiliki oleh kita sebagai muslim untuk menjadi profesional ialah sifat ihsan.Ihsan yang dimaksudkan di sini ialah sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rahimahullah iaitu “kamu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya,jika kamu tidak dapat melihatNya maka sesungguhnya Dia(Allah)melihat kamu”.Sifat ihsan ini tersangat-sangat penting dimiliki oleh kita semua.Dengan ihsan inilah kita mampu untuk melaksanakan tugasan kita secara ikhlas,tidak mengira waktu dan tempat serta tidak mengharapkan habuan dan hadiah daripada apa yang telah kita lakukan.Jika keempat-empat perkara yang saya sebutkan di atas dipegang dan diamalkan,insya Allah kita akan menjadi seorang yang profesional biarpun bidang yang kita ceburi orang ramai tidak menganggap ianya sebagai profesional(kerana rata-rata masyarakat Malaysia hanya menganggap bidang berasaskan sains dan teknologi,bisnes,kejuruteraan,juruterbang sahaja sebagai bidang profesional).
  10. Akhir sekali,kita harus ingat dalam kita membincangkan mengenai profesionalisme dalam profesion yang kita ceburi,sebenarnya setiap daripada kita berkongsi profesion sama yang lebih besar tanggungjawab dan tugasan daripada mana-mana profesion yang ada dalam dunia ini iaitulah profesion sebagai seorang muslim.Perkara ini perlu kita sematkan betul-betul dalam diri kita kerana profesion inilah yang akan menentukan sama ada kita akan berjaya atau tidak di hari akhirat kelak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: