Mengimbas Ruh Ibadah Umrah(Siri Pertama)

Kali ini insya Allah saya akan berkongsi dengan pembaca mengenai sebahagian daripada perjalanan ibadah Umrah saya pada bulan Ramadhan yang lepas.Mudah-mudahan kita semua dapat mengambil nilai-nilai pengajaran yang sangat banyak terkandung dalam ibadah ini.Harapannya juga agar artikel ini dapat membakar semangat kepada semua untuk melaksanakan ibadah Umrah dan lebih-lebih lagi ibadah Haji pada usia yang muda.Dalam siri kali ini,saya akan fokuskan penulisan ini tentang perjalanan dan kehidupan saya di bumi Mekah Mukarramah sahaja.Insya Allah pada siri akan datang,saya akan ceritakan pula mengenai perjalanan di bumi Madinah Nabawiyyah.

Sebenarnya amatlah beruntung bagi mereka yang telah menjejakkan kaki di dua tanah Haram iaitu Mekah dan Madinah.Semua ini adalah daripada izin Allah s.w.t. yang telah mengizinkan kita menjadi tetamu-Nya di sana.Ada dalam kalangan sahabat saya yang tidak dapat ke sana kerana masalah-masalah yang berlaku pada saat-saat akhir di mana mereka pada masa itu sudah pun berada di Lapangan Terbang Kaherah menunggu pesawat untuk berlepas ke Jeddah,Arab Saudi.Maka,bagi mereka yang telah pun selesai menunaikan ibadah Umrah ataupun Haji,mestilah bersyukur kepada Allah dengan sebenar-benar syukur,bukan sekadar pada lisan tapi yang lebih penting pada perubahan amalan dan perbuatan ke arah yang lebih baik.

Perlu diketahui bahawa ibadah Umrah atau Haji ini jika dilakukan dengan ikhlas,bersungguh-sungguh serta sempurna rukun dan syaratnya,maka ia pasti akan dapat merubah seseorang secara keseluruhan(total).Jika hal ini tidak berlaku,kita perlu tanya diri balik,adakah ibadah Umrah atau Haji yang telah dilakukan itu benar-benar ikhlas kerana Allah atau kerana apa?Adakah kita bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah Umrah ataupun sekadar sambil lewa?Perkara ini sangat penting kerana ganjaran bagi mereka yang mendapat Umrah atau Haji yang mabrur amat besar iaitu tidak lain hanyalah syurga.Hal ini disebut oleh Nabi s.a.w.:

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.aw. bersabda:”Umrah kepada Umrah(yang dilakukan sekali lagi pada masa akan datang) merupakan kaffarah(penghapus dosa) di antara keduanya,dan Haji yang mabrur itu tiada baginya balasan melainkan syurga“(Hadis 1773,Sohih Bukhori)

Sebagaimana yang kita tahu bahawa Rukun Umrah ada lima iaitu Niat,Tawaf Rukun,Saie,bercukur atau bergunting serta tertib mengikut susunan yang ditetapkan.

Niat

Niat untuk melaksanakan Umrah atau Haji dilakukan di miqat(tempat) yang telah ditetapkan oleh Nabi s.a.w. dengan berpakaian ihram sebagaimana yang diketahui umum.Kebiasaanya,jika mereka yang datang melalui kapal terbang,kapten pesawat akan membuat pengumuman bahawa pesawat akan melalui miqat tidak lama lagi.Makluman ini juga dipaparkan di skrin tv besar yang ada dalam pesawat.Jangan risau,yang penting jangan tertidur semasa pesawat sedang melalui miqat.Tujuan kita berniat ihram hanya pada tempat-tempat tertentu yang ditetapkan oleh syarak selain daripada tanda ta’abbudi lillah(penghambaan diri kepada Allah) adalah untuk memuliakan Tanah Haram Mekah,tempat yang padanya terdapat Kaabah dan Masjidil Haram serta mempunyai banyak kelebihan.

Tawaf Rukun

Tawaf dilakukan sebanyak 7 kali pusingan bermula daripada penjuru Hajarul Aswad dan berakhir juga di situ.Kita juga boleh melihat pada lampu hijau yang dipasang sebelah kanan selari dengan penjuru Hajarul Aswad.Antara perkara sunat yang dilakukan semasa  tawaf  ialah idtiba’ bagi lelaki yang berihram(iaitu menjadikan bahu kanan terbuka,tidak dilitupi oleh kain ihram),mencium Hajarul Aswad(atau jika tidak mampu,cukup dengan melambai tangan ke arah Hajarul Aswad kemudian mengucupnya),dan lain-lain.

Cuma perkara penting yang ingin disentuh di sini adalah mengenai sunat mencium Hajarul Aswad.Di sana,kita akan mendapati ramai daripada jemaah Umrah atau Haji yang berebut-rebut untuk mencium Hajarul Aswad sehingga menyebabkan berlakunya tolak-menolak serta maki-memaki antara satu sama lain.Perkara ini bertentangan dengan apa yang diajarkan oleh Allah dan Rasul-Nya yang menyuruh semua umat Islam berkasih sayang,hormat-menghormati serta menjaga lidah dan tangan daripada menyakiti saudara semuslim mereka.Memelihara ikatan persaudaraan sesama muslim itu wajib sedangkan  mencium Hajarul Aswad itu sunat sahaja.

Saidina Umar al-Khattab r.a. pernah berkata ketika tiba di tempat Hajarul Aswad:”Sesungguhnya aku mengetahui  bahawa engkau hanyalah seketul batu yang tak memberi mudarat mahupun manfaat.Dan jikalau aku tidak melihat Rasulullah s.aw. menciummu,aku tidak akan menciummu.“(Hadis 1597,Sohih Bukhori)

Bagaimanapun,rasanya elok juga kerajaan Arab Saudi membuat besi penghadang agar dapat membuat satu barisan untuk jemaah Umrah atau Haji agar semua dapat mencium Hajarul Aswad dalam keadaan tertib,teratur dan tenang.Jika tempat mengambil air zam-zam di belakang Maqam Ibrahim boleh ditutup untuk memastikan lebih ramai jemaah yang dapat tawaf,mengapa tidak difikirkan cara untuk membolehkan semua jemaah dapat mencium Hajarul Aswad?

Tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak 7 pusingan ini sangat-sangatlah memenatkan.Lebih-lebih lagi jika pada waktu bilangan jemaah yang ramai.Kita terpaksa berasak-asak,kiri dan kanan dipenuhi dengan hamba-hamba Allah yang bernama manusia.Peluh mengalir bagaikan menjirus air ke badan untuk mandi.Kaki terasa sengal dan lutut seakan nak tercabut.Kadang-kadang tawaf boleh memakan masa selama sejam lebih.Saya tak dapatkan bayangkan bagaimana keadaan pak cik dan mak cik yang telah tua melakukan tawaf.Ramai juga mereka yang kelihatan agak uzur disorong dengan dengan kerusi roda untuk bertawaf.Satu pengajaran yang sangat penting di sini ialah kita sepatutnya menyelesaikan urusan ibadah Haji pada usia yang muda.Jangan menangguhkannya pada hari kita pencen atau pada hari tulang kita sudah reput.Akibatnya banyak rukun yang kita tak dapat laksanakan dengan sempurna dan terpaksa disorong dengan kerusi roda oleh orang lain.

Saie

Saie dilakukan sebanyak 7 kali pusingan bermula daripada Bukit Safa berakhir di Bukit Marwa.Rukun ini juga memerlukan tenaga dan kudrat yang kuat.Satu kali pusingan mengikut kiraan saya lebih kurang hampir 600-700 meter atau mungkin juga lebih.Selepas selesai bersaie,kaki seolah-olah terasa ringan kerana terlalu letih dan kebas.Tempat saie ini mempunyai sebanyak 4 tingkat.Tingkat paling bawah agak istimewa kerana ada ‘air-cond’.Biasanya saya akan solat Tarawih di situ.Tingkat 3 dan 4 lengang,hanya ada dua tiga kerat manusia sahaja yang bersaie.Di tingkat dua agak sesak dan penuh dengan jemaah.Seeloknya lakukan saie di tingkat dua untuk kita merasai keperitan dan kepenatan melakukan ibadat Umrah atau Haji.

Ada sebahagian jemaah semasa melakukan saie sempat merakam video dan ada juga seolah-olah bermain lumba lari antara dua lampu hijau sesama mereka.Perkara ini perlu dielakkan oleh kita semua kerana dalam ibadah kita perlu serius,fokus dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap bacaan dan gerakan dalam ibadah kita,bukannya bermain-main.Sepatutnya semasa bersaie,kita perlu membasahkan bibir kita dengan zikrullah dan doa-doa yang ma’thur(yang diajarkan oleh Nabi s.a.w) agar Allah ampunkan segala dosa-dosa kita yang telah lalu.

Bercukur atau Bergunting?

Setelah selesai menunaikan semua rukun di atas dengan sempurna,barulah kita boleh bercukur atau bergunting untuk kita bertahalul tanda kita telah selesai melakukan ibadah Umrah dan selesai berihram.Rata-rata dalam kalangan kita datang ke Tanah Haram dengan rambut yang panjang.Kita mungkin sayang akan rambut kita yang panjang.menjadikan imej kita lebih lawa dan kemas.Akhirnya kita memilih untuk sekadar bergunting paling kurang 3 helai rambut.Ada sahabat saya walaupun telah melakukan umrah sebanyak 7 kali tetapi masih tetap tidak bercukur.Saya bukan hendak katakan bahawa perbuatan itu salah dan berdosa tetapi salah dan gagal memahami kelebihan dan fadhilat yang besar yang dijanjikan oleh Allah bagi mereka yang bercukur melebihi mereka yang bergunting.

Hal ini sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Bukhori dan Muslim dalam kitab Sohih mereka,bahawa Nabi s.a.w. bersabda:”Semoga Allah merahmati orang yang bercukur“.Sahabat bertanya:”Dan untuk orang yang bergunting,ya Rasulullah?”Sabda Nabi s.aw.:”Semoga Allah merahmati orang yang bercukur“.Sahabat bertanya lagi:”Dan untuk orang yang bergunting,ya Rasulullah?”Sabda Nabi s.aw.:”Semoga Allah merahmati orang yang bercukur“.Sahabat bertanya lagi:”Dan untuk orang yang bergunting,ya Rasulullah?”Sabda Nabi s.aw.:”Dan untuk orang yang bergunting.

Cukup sekadar ini perkongsian saya pada siri kali ini.Saya akan berkongsi mengenai perkara-perkara lain pada siri akan datang,insya Allah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: