Adakah Kita Benar-Benar Telah Bersabar?

Ramai yang menyangka bahawa mereka telah bersabar atas ujian yang dikenakan dan mendakwa bahawa hanya perkara-perkara yang susah sahaja perlukan kesabaran.Adakah ini satu sangkaan yang tepat atau ada di sana adanya makna dan hakikat sebenar sabar yang dituntut dalam Islam?

Fadhilat Sabar

Allah s.w.t. telah menyebut kalimah berkaitan sabar di dalam al-Quran lebih kurang dalam 90 tempat.Dalam tiap-tiap tempat Allah menceritakan mengenai kelebihan dan kebaikan yang banyak bakal diperolehi oleh orang-orang yang sabar.Semua ini menunjukkan bahawa sabar merupakan satu perkara yang besar dan dituntut dalam Islam.

Sesungguhnya (Allah) menyempurnakan bagi orang-orang yang sabar pahala mereka tanpa sebarang batasan“(surah az-Zumar,ayat 10)

Dalam ayat di atas,Allah mengatakan bahawa pahala bagi orang-orang yang sabar tidak ada had dan sempadan.Boleh jadi sedikit dan boleh jadi banyak.Ia bergantung kepada sejauh mana tahap kesabaran kita.Semakin tinggi tahap kesabaran kita,semakin berganda pahala yang bakal kita perolehi.Hal ini diperkuat lagi dengan hadis qudsi yang menceritakan mengenai pahala bagi orang-orang yang berpuasa.Sebagaimana yang kita tahu bahawa,ibadah puasa  secara zatnya menunjukkan kepada kesabaran.Ibadah puasa antara ibadah terbaik untuk meningkatkan tahap kesabaran dalam diri kita.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda:”Allah Azza Wajall berfirman:Puasa itu untukku dan hanya aku yang akan memberi balasan untuknya,orang yang berpuasa meninggalkan syahwatnya dan makanannya serta minumannya keranaku….“(riwayat Bukhori,hadis no 7492)

Maksud ayat ‘ …dan hanya aku yang akan memberi balasan untuknya’ ialah Allah sahajalah yang akan menentukan sebanyak mana pahala yang akan diberikan kepada mereka yang berpuasa.Tiada had dan batasan.Mereka yang berpuasa dengan penuh kesabaran akan diberi ganjaran yang lebih berbanding mereka yang berpuasa tapi kurang bersabar.

Dalam hadis lain yang membawa makna hampir serupa dengan hadis di atas tetapi dengan sedikit tambahan,Nabi s.aw. bersabda:”Allah s.w.t. berfirman:Setiap amalan anak Adam itu adalah untuknya kecuali puasa,sesungguhnya puasa itu adalah untukku dan hanya aku yang akan memberi balasan untuknya…“(Riwayat Bukhori,hadis no 1904)

Sabar itu sifat istimewa buat manusia

Jika kita lihat pada haiwan-haiwan yang ada atas muka bumi ini,kita akan dapati bahawa mereka dipenuhi dengan keinginan syahwat(keseronokan) terhadap pelbagai perkara tanpa adanya sesuatu yang mengawal keinginan tersebut.Bagi haiwan,mereka bebas untuk lakukan apa saja pada bila-bila masa saja yang mereka inginkan.Mereka boleh makan sesuka hati mereka.Apa yang terlintas di depan mata terus dimamah dan ditelan.

Sebaliknya pula pada golongan malaikat.Mereka merupakan makhluk Allah yang diciptakan untuk taat kepada-Nya sepanjang masa.Mereka langsung tidak dikelilingi oleh keinginan syahwat sehingga menyebabkan ketaatan mereka kepada Allah s.w.t. tergugat.Oleh sebab itu,mereka tidak memerlukan sesuatu yang mampu menjadi perisai kepada keinginan syahwat yang melampau batas.

Manusia merupakan makhluk yang istimewa.Mereka dikurniakan dengan keinginan syahwat sebagaimana yang dimiliki oleh haiwan.Namun,Allah s.w.t. tidak membiarkan mereka mengikut keinginan syahwat secara membabi buta sebagaimana yang dilakukan oleh haiwan,sebaliknya mengilhamkan kepada manusia sesuatu yang boleh menjadi perisai dan pembimbing agar keinginan syahwat yang timbul tidak melebihi batas had yang ditetapkan oleh-Nya.Itulah dia sabar.

Pembahagian sabar

Terbahagi kepada dua:

  1. Sabar secara jasadi/fizikal:seperti sabar dalam menanggung kesakitan yang terkena pada badan atau sabar dalam melaksanakan pekerjaan-perkerjaan yang berat umpamanya ibadah dan sebagainya
  2. Sabar secara mental/psikologi:seperti sabar dalam menangani keinginan semula jadi terhadap keseronokan dan godaan-godaan hawa nafsu.

Hakikatnya,kehidupan manusia tidak pernah sunyi dengan erti kesabaran.Dakwaan yang mengatakan bahawa hanya di waktu susah sahaja perlukan kesabaran merupakan dakwaan yang kurang tepat.Secara umumnya,kehidupan manusia dilingkungi oleh 2 keadaan dan manusia memerlukan kesabaran dalam kedua-dua perkara tersebut.Dua keadaan yang dimaksudkan ialah:

  1. Keadaan yang selari dengan kehendak hawa nafsu:seperti kesihatan,keselamatan,kerehatan,harta,kedudukan dan sebagainya
  2. Keadaan yang berlawanan dengan kehendak hawa nafsu:seperti perkara ketaatan kepada Allah(ibadah,dll),menahan diri dari melakukan kemaksiatan serta bersabar atas kejahatan dan kesakitan yang dikenakan oleh orang lain.

Keadaan pertama:Hakikatnya,semua perkara yang selari dengan kehendak nafsu kita merupakan satu fitnah(ujian).Dalam menghadapi setiap ujian yang menimpa tentulah kita memerlukan kepada kesabaran.Semakin berat ujian yang melanda,semakin bergandalah tahap kesabaran yang diperlukan.Hal ini sendiri telah disebut oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran:

Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak-anak kamu(miliki) adalah satu fitnah(ujian)“(surah al-Anfal,ayat 28)

Sesungguhnya isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu adalah musuh kepada kamu,maka berhati-hatilah dengan mereka“.(surah at-Taghabun,ayat 14)

Sabar ketika mendapat kenikmatan sebenarnya merupakan satu perkara yang lebih susah berbanding sabar ketika susah.

Kata sebahagian ulama:”Orang mukmin itu bersabar atas bala yang menimpa,sebaliknya tidak mampu sabar atas ‘afiah(kesenangan,kesihatan,dll) yang diterima kecuali mereka yang betul-betul benar imannya

Ada satu perumpaan yang menarik mengenai hal ini:”Orang yang begitu lapar adalah lebih mampu bagi mereka untuk bersabar ketika tiadanya makanan daripada ketika adanya makanan yang sedap dan enak

Perumpaan ini boleh kita lihat pada fenomena yang berlaku semasa bulan Ramadhan di Malaysia.Lihatlah bagaimana kebanyakan masyarakat begitu sabar dalam berpuasa sehingga ada yang mampu bertahan walaupun tidak bersahur.Namun,apabila tibanya waktu berbuka,kesabaran yang ada pada diri mereka lenyap sekelip mata.Mereka membaham semua makanan yang ada  di depan untuk mengembungkan perut sebesar-besarnya.Mereka juga tidak dapat bersabar melihat banyak juadah yang dijual di bazar-bazar Ramadhan lalu mereka membeli berpuluh-puluh jenis lauk.Apa yang dimakan hanya satu dua lauk sahaja,dan yang selebihnya menjadi sisa makanan untuk anak-anak kucing dan ayam di halaman rumah.

Keadaan kedua:Ramai juga sebenarnya yang tidak mampu untuk bersabar dalam istiqamah melakukan perkara ketaatan kepada Allah.Sifat malas untuk bersolat membelenggui diri dan sifat bakhil dalam mengeluarkan zakat atau sedekah terus bersarang dalam hati.

Bagaimana untuk bersabar dalam perkara ketaatan sehingga mampu terus istiqamah dengannya?

  1. Sebelum melakukan ibadah:Betulkan niat dan ikhlas kepada Allah.Mereka yang beribadah atas kepentingan lain tidak akan mampu bertahan lama dan akan meninggalkannya apabila sesuatu kepentingan yang dituntut hilang.
  2. Semasa melakukan ibadah:Berusaha sedaya upaya untuk tidak lalai daripada mengingati Allah sehingga tamat ibadah yang dilakukan.
  3. Selepas melakukan ibadah:Menahan diri daripada mempamerkan ibadah yang dilakukan untuk tujuan riak atau sum’ah.

Begitu juga ramai yang tidak mampu bersabar untuk menahan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat umpamanya mengumpat,berbohong(sekalipun dalam bergurau).

Seterusnya,ramai juga yang tidak boleh bersabar atas kejahatan dan kesakitan yang terkena pada diri mereka seperti celaan,dirompak,kehilangan barang,ahli keluarga dibunuh oleh mereka yang kejam dan banyak lagi.Sekiranya kita mampu sabar atas perkara yang saya sebutkan di atas,sebenarnya kita telah mampu mencapai darjat kesabaran yang tertinggi.

Sedarlah bahawa setiap orang pasti akan diuji.Cuma yang berbeza hanyalah tahap ujian yang menimpa.Ia berbeza-beza mengikut tahap keimanan masing-masing.Hal ini sebagaimana hadis Nabi s.a.w.:

“Nabi s.a.w. ditanya:Siapakah dalam kalangan manusia yang paling teruk ujiannya?Jawab baginda s.a.w.:Para nabi kemudian orang-orang soleh,kemudian seterusnya,kemudian seterusnya daripada kalangan manusia.Diuji seseorang itu berdasarkan tahap agamanya...”(Riwayat Tirmizi,hadis hasan)

Akhirnya kita perlu tahu,bahawa kesabaran merupakan antara perkara yang besar dalam Islam.

Dan sekiranya kamu bersabar dan bertaqwa,maka sesungguhnya itu semua merupakan antara perkara yang utama“(surah Ali Imran,ayat 186)

Adab-adab ketika bersabar

1. Bersabar ketika kejutan yang pertama.Perkara ini sangat-sangat susah untuk kita miliki.Kebanyakannya apabila mendengar sesuatu musibah seperti kematian orang yang disayangi,mereka tidak dapat menerimanya,meraung-raung,tidak mahu makan dan minum dan sebagainya.Di universiti tempat saya belajar,pada setiap hari,saya boleh mendengar raungan daripada makcik-makcik Mesir yang meratapi kematian ahli keluarga di tempat penyimpanan jenazah.

Oleh sebab itulah ,Nabi s.a.w. pernah bersabda:”Sesungguhnya kesabaran itu ketika di kejutan yang pertama“(Muttafaqun alaih)

2.  Kembalikan urusan kepada Allah(Istirja3).Sebagaimana firman Allah s.w.t.:”Iaitu orang-orang yang ditimpa kepada mereka musibah,lalu mereka berkata:Sesungguhnya kami ini adalah kepunyaan Allah,dan sesungguhnya kepada-Nyalah tempat kami kembali“(surah al-Baqarah)

3.  Tenang dari segi anggota tubuh badan dan lisannya.Menangis diharuskan oleh syarak tetapi bukan meratap.Ada bezanya.

4.  Tidak menunjukkan kesan-kesan musibah yang terkena.Ada satu kisah yang sangat menarik menceritakan bagaimana tahap kesabaran yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Ummu Sulaim r.anha.

Telah mati anak kepada Abu Talhah r.a.(suami Ummu Sulaim r.anha).Lalu Ummu Sulaim berpesan kepada ahli keluarganya:Jangan kamu menceritakan mengenai kematian anakku sebelum aku memberitahunya sendiri.Maka pulanglah suaminya ke rumah,dihidangkan kepadanya makan malam,lalu suaminya makan dan minum.Kemudian,Ummu Sulaim telah melayan suaminya dengan layanan yang terbaik yang tidak pernah dilakukan sebelum daripada ini.Ketika mana Ummu Sulaim melihat suaminya telah kenyang lalu dia berkata kepada suaminya:Ya Abu Talhah,apa pandangan engkau sekiranya sesuatu kaum yang memberi pinjam satu barang pinjaman,lalu mereka ingin mendapatkannya semula,adakah patut untuk seseorang menghalangnya?Jawab Abu Talhah r.a.:Tidak.Lalu Ummu Sulaim berkata:Begitu juga dengan anakmu“(Riwayat Muslim)

Moral daripada cerita tersebut:Lihatlah walaupun bergelar seorang wanita,Ummu Sulaim r.anha telah menunjukkan tahap kesabaran yang lebih tinggi daripada semua lelaki yang ada pada hari ini.Lihatlah juga bagaimana ciri-ciri isteri yang bijaksana dan solehah yang tidak tergopoh-gapah dalam menceritakan sesuatu yang buruk kepada suami.

5.  Sekiranya kita mampu untuk menyembunyikan musibah yang melanda,maka sembunyikan.Kata al-Ahnaf:”Sesungguhnya mata aku telah tiada sejak 40 tahun,dan aku tidak menceritakan kepada sesiapa pun mengenainya“.(Tahzibul Kamal,Tarikh Dimasq)

Rujukan:Kitab Minhajul Qasidin,karangan al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: