Tidak Semudah Itu

Sudah hampir dua bulan berlalunya Revolusi Mesir.Keadaan sudah semakin pulih.Rakyat Mesir kembali memulakan kehidupan seperti sedia kala.Namun persoalan yang ingin ditimbulkan di sini,apakah hasil dan kesan daripada revolusi ini khususnya kepada rakyat Mesir sendiri?

Jika dilihat dari sudut kebebasan menyuarakan pandangan dan berpolitik,kita lihat revolusi ini telah berjaya membuka lembaran baru buat sejarah Mesir apabila jemaah Ikhwan Muslimin yang sebelum ini ditekan dan diharamkan pergerakannya,mula dapat bergerak lebih aktif dan terbuka menyebarkan dakwah Islam kepada rakyat Mesir.Jika sebelum ini,hendak menyebut nama Ikhwan Muslimin di tempat terbuka pun sudah timbul rasa gusar,kini di mana-mana sahaja orang akan bercakap mengenainya.Ramai yang tidak menyangka bahawa perkara ini boleh berlaku.Tetapi ingatlah bahawa kuasa dan ketetapan Allah mengatasi segalanya.Tidak ada sesiapa pun yang mampu menghalang perkara yang telah ditetapkan-Nya dan tidak sesiapa pun yang mampu meneruskan perkara yang dihalang-Nya.

Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya,’Jadikanlah!’.Maka hadilah sesuatu itu”(surah Yasin,ayat 82)

Walaupun bagaimanapun,jika kita melihat dari sudut perubahan pada mentaliti,sikap,dan budaya kerja masyarakat Mesir,saya rasa masih banyak yang tidak berubah.Perubahan itu mungkin berlaku tetapi tidak melibatkan majoriti masyarakatnya.Sampah-sarap masih lagi bertaburan di jalanan walaupun bukan di semua tempat.Masih ada lagi yang membaling sampah ke jalan -jalan.Kejadian mencuri masih lagi berleluasa.Baru-baru ini,ada rakan senior saya kehilangan motorsikal yang diparkir di dalam kawasan universiti pada siang hari.Bayangkan masih ada yang berani mencurinya ketika itu.

Saya akui ketika ini majlis tentera masih lagi memegang sementara tampuk pemerintahan Mesir dan kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat masih lagi belum wujud.Tetapi cukup untuk kita membuat kesimpulan bahawa mentaliti,sikap dan budaya kerja sesebuah masyarakat itu sebenarnya banyak bergantung kepada faktor dalaman diri masing-masing bukan disebabkan pemerintah semata-mata.

Perubahan yang ingin dilakukan dalam sesebuah negara dan masyarakat bukanlah semata-mata cukup kita merubah nama pemerintah tetapi corak dan gaya hidup lama masyarakat masih kekal sama.Sebaliknya kita memerlukan perubahan yang besar.Kita memerlukan perubahan yang hakiki iaitu perubahan yang bermula daripada setiap individu yang ada masyarakat.Allah s.w.t. telah berfirman:

“…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”(surah ar-Ra’d,ayat 11)

Maka kita sebenarnya mempunyai satu projek yang cukup berat dan besar untuk dilaksanakan iaitu untuk mengubah setiap individu yang ada dalam masyarakat termasuk diri sendiri agar lebih memahami Islam dengan kefahaman yang sebenar,melaksanakan semua tuntutannya dan menghindari daripada semua tegahannya.Kefahaman mengenai Islam itu tidak datang sekelip mata sebaliknya memerlukan masa dan proses tarbiyah(didikan) secara berterusan,tersusun dan ada matlamat yang ingin dicapai.Seseorang itu mungkin bercakap mengenai teori Islam dengan begitu petah sekali di hadapan orang ramai tetapi dari sudut praktikalnya kosong.Sebagai contoh mudah,berapa ramai yang tahu bahawa solat Subuh berjemaah di masjid mempunyai banyak fadhilat dan kelebihannya,tetapi berapa ramai yang turun mengerjakannya?

Hendak mengubah bukit itu sebenarnya lebih mudah jika hendak dibandingkan dengan mengubah manusia.Lumrah manusia ada kalanya berada di atas bersemangat melaksananakan tuntutan-tuntutan agama tapi ada kalanya juga berada di bawah luntur dengan kesenangan dunia yang dimiliki.Oleh sebab itulah,mahu tidak mahu,sama ada kita setuju atau tidak proses tarbiyah(mendidik) merupakan satu perkara yang tetap.Tidak boleh bagi sesuatu gerakan Islam memandang enteng mengenai perkara ini dan tidak lagi menitik beratkan persoalan tarbiyyah setelah mendapat kuasa di tangan.Tarbiyyah mestilah terus bergerak malahan perlu lebih rancak daripada sebelum ini.

Mendidik tidak sama dengan mengajar.Semua orang boleh mengajar mengenai teori Islam tetapi bukan semua orang mampu mendidik masyarakat dengan teori Islam sehingga mampu menjadi darah daging dalam kehidupan mereka.Proses mengajar hanya memerlukan kita memindahkan maklumat atau ilmu yang ada dalam diri kita tanpa perlu menerapkan nilai-nilai yang boleh diambil daripada ilmu tersebut.Sebagai contoh,entah berapa ramai pensyarah saya di Fakukti Perubatan Universiti Kaherah yang mengajar mengenai bahayanya rokok terhadap kesihatan tetapi apabila berada di luar mereka sendiri merokok.Inilah yang dikatakan hanya sekadar mengajar.Semua orang mampu lakukannya,tetapi kita tidak mahukan begitu.Kita mahukan setiap daripada mereka yang mempunyai kesedaran akan Islam menjadi pendidik(murabbi) kepada masyarakat bukan sekadar mengajar mengenai teori-teori Islam tetapi nilai dan ruh semangatnya hilang entah ke mana.

Umat Islam pada hari ini umpama sedang tekapai-kapai di lautan.Mana-mana perahu yang berusaha menyelamatkan mereka sepatutnya cepat-cepat dinaiki sebelum datang ombak kuat menerjah dan mati kelemesan di situ.Kita tidak sepatutnya bertegang sesama kita hanya disebabkan perbezaan jemaah,parti atau kumpulan sedangkan musuh kita di luar sana setiap hari sedang sibuk memikirkan bagaimana untuk menhancurkan umat diri kita.Kita hanya akan memerangkap dan menjerut diri kita sendiri dalam perangkap musuh.

Projek kita adalah projek yang besar.Projek untuk merubah dalaman masyarakat.Tidak cukup sekadar memastikan Islam memegang tampuk pemerintahan dunia tetapi kita mesti bersama-sama memastikan Islam memegang tampuk pemerintahan hati setiap manusia.Projek ini tidak semudah yang difikirkan.

3 Responses to Tidak Semudah Itu

  1. Izzah Solehah says:

    Assalamualaikum..nice post akh..
    sgt setuju statement last..disebabkan perbezaan jemaah, aliran pemikiran xsehaluan..rmi yg argue ssm smdr..among muslim pulak tu..ini lah yg melemahkan Islam dari sudut kesatuan tidak ada..

  2. Ahmad Suhaib says:

    itu diaa. sheikh marzuki kembali menulis. hihi.

  3. Ahmad Suhaib says:

    itu diaa. sheikh marzuki kembali menulis. hehe.

Leave a comment