Misi & Visi

Orang-orang yang telah dan ingin berjaya sudah pasti mempunyai misi dan visi hidup yang telah ditetapkan. Mereka mempunyai hala tuju serta matlamat yang ingin dicapai dan dari situlah pelbagai langkah, tindakan dan gerak kerja diatur.Manakala orang-orang yang tidak mempunyai misi dan visi hidup yang jelas, mereka akan kabur serta kehilangan arah untuk dituju, dan akhirnya akan menemui kegagalan, kerugian dan kekecewaan.

Beza Misi & Visi

Secara ringkasnya misi merujuk kepada matlamat jangka pendek yang ingin dicapai manalaka visi pula ialah matlamat jangka panjang. Dalam bahasa Arab, misi disebut sebagai هدف (hadaf), manakala visi ialah غاية (ghayah).

Visi: tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan masa depan dan sebagainya, wawasan.” (Kamus Dewan Edisi Keempat, m/s 1790, cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka)

Misi dan visi, kedua-duanya penting dan saling memerlukan dan berkait rapat. Melalui misi yang ditetapkan akan tercapai visi yang diimpikan.

Saya ingin memberi contoh mudah beza antara misi dan visi. Contoh ini asalnya diterangkan oleh sahabat saya, akhi Isa Mohd Hassan yang merupakan pelajar tahun 6 Fakulti Perubatan di Universiti Kaherah Mesir.

Dalam apa-apa permainan atau perlawanan, sudah tentu kita inginkan kemenangan. Sebagai contoh permainan bola sepak. Jika kita ingin menang dalam permainan bola sepak, kita mestilah menjaringkan gol sebanyak mungkin mengatasi jaringan gol pihak lawan.

Kemenangan yang ingin dicapai dalam permainan itulah disebutkan sebagai visi, manakala kemestian menjaringkan gol merupakan misi.

Perlu pencetus

Sebenarnya bukan mudah untuk merancang gerak kerja berterusan bagi mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan. Sekalipun seseorang itu mungkin telah nampak dengan jelas misi dan visi hidup mereka tetapi mereka gagal untuk bergerak ke arah itu. Tiada satu tolakan kuat yang mampu menolak mereka ke depan.

Oleh sebab itu, setiap daripada kita perlu mencari pencetus atau penolak untuk kita bergerak. Pencetus itu boleh jadi disebabkan oleh ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi s.a.w. , kisah-kisah salafus soleh, contoh kejayaan yang telah ditunjukkan oleh seseorang (qudwah), kata-kata hikmah, realiti semasa, desakan  serta tekanan hidup dan pelbagai lagi. Setiap orang sudah pasti mempunyai pencetus masing-masing.

Kadang-kadang seseorang itu rasa tertolak untuk melaksanakan misi dan visi yang ditetapkan apabila suatu fasa baru bermula. Sebagai contoh apabila sesi persekolahan atau pengajian baru bermula. Rata-rata pelajar rasa tertolak dan bersemangat untuk tidak mengulangi kesilapan pada sesi yang lepas serta ingin belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kecemerlangan yang diimpikan.

Semua pencetus yang disebutkan di atas harus digunakan sebaik mungkin oleh kita sebagai bahan bakar kepada perjalanan kita yang jauh menuju ke arah misi dan visi yang telah ditetapkan. Jika tidak, boleh jadi sukar untuk kita memperolehinya semula.

Hangat-hangat tahi ayam

Kebiasaannya di awal langkah untuk kita bergerak, kita rasa cukup hangat dan bersemangat. Namun belum sampai ke penghujung, kita sudah mula rasa dingin dan layu. Perkara ini seakan-akan sudah menjadi lumrah kepada kebanyakan orang.

Jadi bagaimanakah untuk mengelakkan daripada hal ini berlaku?

Antara perkara penting bagi merawat fenomena ‘hangat-hangat tahi ayam’ ialah perlunya sifat sabar dan istiqamah. Saya pernah menulis satu artikel khas berkaitan dengan sabar.

Sabar

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

“..والصلاة نور, والصدقة برهان, والصبر ضياء…”

Maksudnya: “…dan solat itu ‘nur’, dan sedekah itu bukti, dan sabar itu ‘dhiya’…”

Sebahagian penterjemah menterjemahkan perkataan نور dan ضياء sama iaitu cahaya. Walaubagaimanapun, terjemahan itu kurang tepat kerana setiap perkataan dalam bahasa Arab mempunyai makna tersendiri yang kadang-kadang tidak mampu diterjemahkan oleh bahasa Melayu, bahkan tidak mempunyai kata seerti dalam bahasa Arab. Inilah kelebihan yang Allah kurniakan kepada bangsa dan bahasa Arab.

Dalam kitab إيضاح المعاني الخفية في الاربعين النووية karangan as-Syeikh Muhammad Tatai (محمد تاتاي), beliau telah  menafsirkan terjemahan bagi kedua-dua perkataan ini berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah Yunus ,ayat 5.

“هو الذي جعل الشمس ضياء والقمر نورا”

Maksudnya: ” Dia (Allah) yang telah menjadikan matahari itu sebagai ‘dhiya’ dan bulan itu sebagai ‘nur’ “

Daripada asas ilmu geografi, kita semua mengetahui bahawa matahari mampu mengeluarkan cahaya sendiri manakala bulan bergantung kepada matahari untuk bercahaya. Daripada situ, perkataan ‘dhiya’ ditafsirkan sebagai sesuatu yang boleh mengeluarkan cahaya manakala ‘nur’ ialah bercahaya sahaja.

“و إنما كان  الصبر ضياء, والصلاة نورا, لأن الصبر بالنسبة إليها كالأصل مع الفرع, فلو لا الصبر ما أقيمت الصلاة” [ as-Syeikh Muhammad Tatai , إيضاح المعاني الخفية في الاربعين النووية , m/s 175]

Maksudnya: ” Sesungguhnya sabar itu merupakan ‘dhiya’ dan solat itu merupakan ‘nur’ kerana sesungguhnya sabar itu umpama satu asas kepada cabang-cabang (darinya).Sekiranya tiada sabar, maka tidak akan didirikan solat”

Berdasarkan penerangan ringkas hadis di atas, kita dapat melihat betapa peri pentingnya sifat sabar. Kita tahu bahawa solat itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya seolah-olah meruntuhkan agama. Bagaimanapun, Allah s.w.t. telah mendahulukan perkataan sabar daripada perkataan solat bagi menunjukkan kepentingan sabar, melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 45:

“واستعينوا بالصبر والصلاة”

Maksudnya: ” Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat”

Istiqamah

 ومما يدل على أهمية الاستقامة, أن النبي صلى الله عليه وآله وسلم أمر بها, قال تعالى:فاستقم كما أمرت.قال ابن عباس رضي الله عنهما:ما أنزل على رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم في جميع القرآن آية كانت أشد ولا أشق عليه من هذه الآية

Maksudnya: “Di antara perkara yang menunjukkan kepentingan istiqamah ialah Nabi s.a.w. telah diperintahkan supaya beristiqamah. Allah s.w.t. berfirman: “Maka hendaklah kamu (wahai Muhammad) beristiqamah sebagaimana yang telah diperintahkan”. Ibnu Abbas r.ahuma berkata: Tidak diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. pada keseluruhan al-Quran satu ayat yang lebih dahsyat dan lebih susah ke atas baginda daripada ayat ini.”

Istiqamah beerti kita terus-menerus sesuatu tidak kurang dan tanpa henti. Umpamanya jika hari ini kita membaca buku sebanyak 10 muka surat, keesokannya kita juga membaca sebanyak 10 muka surat. Untuk meneruskan pembacaan sebanyak 10 muka surat sehari selama beberapa hari tidaklah terlalu sukar tapi bayangkan jika kita berterusan membaca sebanyak 10 muka surat sehari selama beberapa tahun atau bahkan sampai kita mati, adakah kita mampu melakukannya?

Jawapannya tidak semua mampu melakukannya. Hal ini kerana ada masa kita kuat, ada masa kita lemah. Terkadang kita bersemangat dan kadang-kadang kita malas. Semua ini akan mempengaruhi tahap dan nilai istiqamah dalam diri seseorang.

Oleh yang demikian, langkah yang praktikal untuk kita kekal istiqamah melakukan sesuatu ialah kita mestilah menetapkan tahap mininum yang perlu kita lakukan untuk perkara berkenaan.

Sebagai contoh, kita tetapkan untuk 5 waktu solat fardhu mestilah dilaksanakan secara berjemaah di masjid. Tahap yang maksima untuk perkara ini sudah tentulah kita datang awal ke masjid, solat sunat tahiyatul masjid, solat sunat qabliyah kemudian mendapat takbir bersama imam.Tapi ada masa kita sibuk dan tidak mampu untuk datang awal ke masjid, maka kita tetapkan tahap minimun untuk tetap datang ke masjid solat berjemaah di sana walaupun imam sudahpun berada di rakaat terakhir.

Melalui penetapan tahap minimum ini, kita akan mampu untuk melakukan sesuatu secara berterusan sekalipun bukan pada tahap prestasi yang terbaik.Apa yang penting, perkara berkenaan tidak ditinggalkan secara keseluruhan.

عن عبد الله بن عمرو قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلّم: «لكل عمل شرة، ولكل شرة فترة فمن كانت فترته إلى سنتي فقد أفلح،  ومن كانت إلى غير ذلك فقد هلك

Maksudnya: “Bagi setiap ketika semangat berkobar-kobar adanya satu ketika saat lemah. Barangsiapa saat dia lemah tetap berpegang kepada sunnahku maka sesungguhnya dia telah berjaya. Barangsiapa saat dia lemah berpaling kepada selain daripada sunnahku maka sesungguhnya dia telah binasa” (Riwayat Ahmad)

Misi dan Visi Terbesar

Akhirnya kita yang bergelar sebagai seorang muslim, tidak mahu tidak mestilah memiliki misi dan visi kita tersendiri. Kita tidak boleh terikut-ikut dengan cara fikir, kehendak, dan keinginan orang lain kerana misi dan visi kita sangatlah besar.

Misi kita di dunia ini, sebagaimana yang telah disebutkan oleh ربعي بن عامر , Rib’ie bin ‘Amir di hadapan pemerintah Rom yang bernama Rustam. Katanya:

إن الله بعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة رب العباد، ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام، ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah yang telah mengutuskan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada menghambakan diri kepada hamba-hamba (makhluk) kepada menghambakan diri kepada Tuhan hamba-hamba berkenaan, daripada kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Misi inilah yang perlu kita sematkan dalam diri dan bawa ke seluruh pelusuk dunia. Dengan misi inilah akan menjadikan kita satu umat dan bangsa yang mulia sebagaimana kata Saidina Umar al-Khattab r.a.:

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فإن ابتغينا العزة بغيره أذلنا الله

Maksudnya:” Kita ialah satu kaum yang Allah telah muliakan dengan Islam, maka sekiranya kita mencarinya kemuliaan selain daripada Islam, kita akan dijadikan hina oleh Allah”

Akhirnya visi kita yang terakhir dan terbesar yang ingin kita capai ialah redha Allah s.w.t.

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي

Maksudnya: ” Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku” (surah al-Fajr, ayat 27-30)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: