Jadilah Proaktif Bukan Pasif!

Menurut kamus Dewan edisi keempat, proaktif bermaksud sikap positif (individu, institusi dan lain-lain) merangka atau melakukan sesuatu tindakan (setelah difikir masak-masak) jauh lebih awal daripada berlakunya sesuatu perkara yang sememangnya memerlukan tindakan berkenaan (tindakan tidak dilakukan hanya setelah sesuatu hal itu berlaku). (rujuk : Kamus Dewan Edisi Keempat, cetakan Dewan Bahasa & Pustaka, m/s: 1232)

Manakala pasif pula membawa maksud ‘tend to accept things that happen to them or things that people say to them , without taking any action (cenderung untuk menerima perkara-perkara yang berlaku kepada mereka atau perkara-perkara yang orang ramai perkatakan kepada mereka tanpa mengambil sebarang tindakan) ‘. (rujuk: Longman Dictionary of Contemporary English, cetakan Pearson Education Limited, m/s 1203)

Daripada huraian kepada kedua-dua maksud perkataan tersebut, kita dapat simpulkan bahawa proaktif ialah satu sifat positif yang mesti dimiliki oleh setiap umat Islam, manakala pasif merupakan satu sifat negatif yang mesti dijauhi. Sifat proaktif inilah yang akan menggerakkan umat Islam untuk terus maju ke depan dalam mengembalikan serta mencapai kegemilangan ketamadunan Islam manakala sifat pasif hanya akan merencatkan perjalanan umat Islam menuju ke arah matlamat yang besar itu.

Jika kita menelusuri  perjalanan sirah Nabi s.a.w., kita akan mendapati di kiri kanan baginda Nabi s.a.w. adanya jiwa-jiwa para sahabat r.ahum yang sentiasa bersifat proaktif dan berlumba-lumba untuk memberikan sumbangan mereka kepada Islam.

Sebagai contoh ketika dalam peristiwa peperangan Badar al-Kubra, semasa dalam perjalanan menuju ke medan perang Badar, Rasululllah s.a.w. bersama tentera-tentera Islam sampai di satu kawasan yang paling hampir dengan sumber air Badar. Tiba-tiba, sahabat Nabi s.a.w. yang bernama al-Habab bin al-Munzir (الحباب بن المنذر) r.a. datang dan bertanya kepada Nabi s.a.w:

يا رسول الله هذا منزل أنزله الله ليس لنا أن نتقدم عنه أو نتأخر, أم هو الرأي والحرب والمكيدة؟
Maksudnya: ” Wahai Rasulullah, adakah kawasan yang kita bertempat sekarang ini suatu yang telah ditunjukkan oleh Allah sehingga kita tidak boleh lagi maju ke depan atau ke belakang selangkah pun?Atau ia hanya sebagai strategi dan taktik peperangan?”

Rasulullah s.a.w. menjawab:

بل هو الرأى والحرب والمكيدة
Maksudnya : ” Ianya merupakan strategi dan taktik peperangan

Lalu al-Habab bin al-Munzir r.a. mencadangkan :

يا رسول الله ليس لك هذا بمنزل, فانهض بالناس حتى تأتى أدنى ماء من القوم فإنى أعرف غزارة مائه وكثرته فننزله ونغور ما عداه من الآبار, ثم نبنى عليه حوضا فنملؤه ماء فنشرب ولايشربون
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, di sini bukan tempat yang sesuai, bergeraklah bersama tentera-tentera sehingga sampai ke kawasan yang paling hampir dengan sumber air kaum musyrikin, sesungguhnya aku tahu bahawa di sana terdapat banyak air, oleh itu kita bergerak ke sana kemudian kita timbuskan semua telaga yang ada berhampiran dan kita bina satu takungan lalu kita penuhkannya dengan air agar kita dapat minum dan kaum musyrikin tidak dapat minum darinya. ”

Lalu Rasulullah menerima cadangan tersebut dan memuji pandangan al-Habab r.a. Kemudian Rasulullah bersama tentera-tentera Islam bergerak ke tempat yang telah dicadangkan oleh al-Habab r.a.

Melalui kisah ini banyak pengajaran yang boleh diambil untuk dikaitkan dengan sifat proaktif yang ada dalam diri para sahabat r.ahum.

Al-Habab b. Munzir r.a. bukanlah satu nama yang besar seperti Abu Bakr, Umar, Uthman , Ali r.ahum dan lain-lain yang selalu kita dengar dan disebut-sebut dalam sirah. Namun, dengan iman yang mendalam dan sifat proaktif yang memenuhi dada, beliau tetap memberanikan diri untuk tampil memberikan cadangan kepada baginda Nabi s.a.w..

Selain itu kisah ini menunjukkan bahawa dakwah itu milik bersama, bukan milik satu-satu pemimpin, bukan milik satu-satu individu, bukan milik satu-satu jemaah sebaliknya ia merupakan milik dan tanggungjawab bersama umat Islam. Jatuh bangun dakwah berada di pundak setiap orang Islam.

Dalam kisah ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w merupakan seorang pemimpin berjiwa besar yang boleh mendengar pandangan daripada orang di bawah. Baginda Nabi s.a.w. tidak pernah sekali-kali merasa angkuh dan ego dengan pandangan sendiri sehingga tidak boleh menerima pandangan orang lain sekalipun pandangan berkenaan lebih tepat dan benar.

RUJUKAN :
1)Terjemahan ar-Rahiq al- Makhtum (الرحيق المختوم) karangan as-Syeikh al-Mubarakfuri r.h.
2)نور اليقين في سيرة سيد المرسلين  ,karangan as-Syeikh Muhammad al-Khudhari (محمد الخضري), cetakan دار التوزيع والنشر الإسلامية

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: