Mana Lebih Baik,Belajar Di Larut Malam Atau Di Awal Pagi?:Satu Penilaian

Belajar itu tidak aib.Ia menjadi aib jika bukan kerana Allah

  1. Memandangkan peperiksaan yang akan menjelang tidak lama lagi,rata-rata pelajar di Mesir termasuklah pelajar perubatan di sini mula mengatur masa mereka untuk mengulangkaji dan menelaah semula pelajaran yang telah dipelajari sebelum ini secara serius.Ada di antara mereka yang mengulangkaji pelajaran sehingga larut malam iaitu dalam lingkungan pukul 1-3 pagi dan ada juga yang tidur awal terlebih dahulu kemudian bangun di awal pagi dalam lingkungan pukul 3.30-4 pagi.Mana satu antara cara belajar tersebut yang lebih baik?
  2. Sebelum mengulas lebih panjang,saya tidak nafikan setiap pelajar mempunyai gaya belajar yang tersendiri.Ada yang suka membuat nota,suka membuat latihan soalan-soalan tahun lepas dan ada juga yang sekadar membaca buku-buku teks dan buku rujukan mereka sudah dapat memahami dengan baik pelajaran yang dibaca.Hal ini kerana kita harus sedar bahawa setiap orang dikurniakan oleh Allah dengan berbeza-beza tahap IQ dan ingatan terhadap pelajaran yang dipelajari dan dihafaz.Lihat sahajalah bagaimana dalam kalangan ulama hadis sesama mereka sendiri ada darjat dan tahap mereka masing-masing dalam meriwayatkan hadis seperti al-Hafidz,al-Hujjah,al-Hakim dan Amirul Mukminin(Rujukan:Buku Metodologi Ilmu Hadis,H.Muhammad Iskandar.Lc).
  3. Namun,apa yang saya cuba saya bangkitkan isu di sini ialah mengenai waktu belajar yang terbaik bagi seseorang pelajar.Ia masih lagi bergantung kepada individu masing-masing tetapi kebanyakannya terpecah kepada dua waktu yang saya sebutkan di atas iaitu;belajar sehingga larut malam atau belajar di awal pagi.Saya akan cuba memberikan penilaian berdasarkan pengalaman saya semasa di sekolah menengah dan juga di Mesir ini.
  4. Bagi saya,belajar di awal pagi adalah lebih baik sekiranya belajar di larut malam memberikan kesan-kesan yang berikut: i)Menyebabkan lewat dan cuai dalam menunaikan solat fardhu subuh.Kebanyakannya saya lihat golongan ini sukar untuk bangun awal  kerana kepenatan belajar pada waktu malam menyebabkan mereka terlepas untuk menunaikan solat subuh berjemaah di masjid.Ada sebahagian juga yang menunaikan solat subuh semasa waktu matahari telah pun terbit.Lebih malang lagi,ada yang tidak menunaikan solat subuh tanpa rasa bersalah dan berdosa. ii)Menyebabkan tidur selepas subuh sehingga hampir waktu tengah hari.Hal ini agak bertentangan dengan apa yang ditetapkan oleh Allah sebagaimana dalam surah an-Naba’ ayat 10-11 Allah berfirman:”Dan Kami menjadikan malam sebagai pakaian(bermaksud malam itu gelap menutupi alam sebagaimana pakaian menutupi tubuh manusia).Dan Kami menjadikan siang untuk mencari penghidupan“.Sebenarnya tidur selepas subuh sehingga waktu tengah hari menyebabkan banyak perkara seseorang itu terlepas umpamanya pada waktu subuhlah otak manusia mudah untuk menghafaz al-Quran dan hadis kerana pada waktu itu sel-sel otak masih lagi bertenaga.Begitu juga,golongan ini akan terlepas untuk merebut fadhilat menunaikan solat sunat dhuha. iii)Mengantuk di dalam kelas atau kuliah.Ini banyak berlaku semasa musim pembelajaran sebelum musim peperiksaan.Rata-rata daripada mereka tidur lewat malam pada masa ini bukan kerana mengulangkaji pelajaran tetapi kerana leka dan lagha dengan perkara-perkara seperti games,movies,surfing internet,chatting,facebook dan sebagainya.Ingatlah,fokus di dalam kelas atau kuliah adalah berkali ganda lebih mudah untuk memahami pelajaran daripada belajar sendiri di rumah!
  5. Cukuplah dengan tiga kesan buruk ini hasil daripada belajar sehingga larut malam bagi membuktikan bahawa belajar di awal pagi adalah lebih baik.Namun,bagi mereka yang belajar di larut malam tetapi tidak terkena dengan kesan-kesan ini,teruskanlah dengan cara pembelajaran anda.Apa yang saya ingin tujukan adalah kepada mereka yang terkesan dengan kesan-kesan buruk yang saya senaraikan di atas.Mereka yang belajar di awal pagi kebiasaannya tidak akan terlepas untuk menunaikan solat fardhu subuh berjemaah di masjid.Malah,mereka mungkin sempat untuk menunaikan solat sunat tahajjud di 1/3 akhir malam.Mereka juga dapat menghabiskan bacaan al-Quran paling kurang sejuzuk selepas solat subuh seterusnya dapat menunaikan solat sunat dhuha.Mereka juga tidak mengantuk dan dapat memberikan fokus yang semaksima mungkin semasa proses pembelajaran di dalam kelas.
  6. Saya ingin menimbulkan persoalan dalam diri kita masing-masing,kejayaan bentuk yang manakah ingin kita capai?Adakah hanya sekadar mendapat gred mumtaz(cemerlang) dalam peperiksaan?Adakah di sana tidak terdapat satu lagi bentuk peperiksaan yang lebih mencemaskan dan menakutkan daripada semua macam peperiksaan yang ada atas dunia ini?
  7. Sedarlah bahawa sekadar mendapat kejayaan di dunia ini bukanlah kejayaan kita yang sebenar.Lihatlah bagaimana Allah menggambarkan kejayaan yang sebenar dan hakiki bagi golongan yang beriman.”Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; itulah kejayaan yang besar.”(surah al-Buruj,ayat 11).  “Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kejayaan yang besar.“(surah as-Saff,ayat 12)
  8. Apalah gunanya jika kita mendapat bertimbun-timbun sijil dan ijazah serta kejayaan di atas dunia ini,tetapi pulang menghadap Allah s.w.t di hari akhirat kelak tanpa mendapat balasan syurga di sisi-Nya?
  9. Ingatlah bahawasanya hari perhitungan atau peperiksaan di akhirat nanti adalah lebih dahsyat dan ngeri daripada hari peperiksaan yang ada di dunia ini.Lihatlah bagaimana seseorang itu pada hari peperiksaan di akhirat nanti akan lari meninggalkan orang-orang yang mereka sayangi di dunia ini;sahabat,ibu,ayah,isteri dan anak-anak. “Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua), pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapaknya,dari istri dan anak-anaknya.Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya. “(surah ‘Abasa,ayat 33-37)
  10. Oleh sebab itulah dalam sebuah hadis daripada Aisyah r.anha,beliau berkata: saya mendengar Rasulullah s.a.w. berdoa di dalam sesetengah solat :اللهم حاسبني حسابا يسيرا(Ya Allah,hisabkanlah aku dengan hisab yang mudah).Apabila baginda s.a.w. selesai,saya bertanya:’Wahai Rasulullah,apakah hisab yang mudah?”.Baginda s.a.w. menjawab: “Dilihat ke dalam buku catatan amalannya,kemudian dilangkaui(dimaafkan) begitu sahaja.Wahai ‘Aisyah,sesiapa yang diperbahaskan hisab(amalannya) pada hari itu,bermakna dia telah binasa.
  11. Kepada semua pelajar atau penuntut ilmu,marilah kita berpegang kepada firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud “…Dan bertakwalah kepada Allah,dan Allah akan mengajarkan(ilmu) kepada kamu(akan menjadikan kamu ‘alim)…“.Juga kepada kata-kata al-Imam Syafei r.h. “ Aku mengadu kepada Waki'(al-Imam Waki’ ibn Jarrah r.h.,guru kepada al-Imam Syafei r.h.) tentang buruknya hafalanku,maka dia menyuruhku supaya meninggalkan maksiat,dan dia mengatakan kepadaku bahawa sesungguhnya ilmu Allah itu adalah cahaya,dan cahaya Allah itu tidak akan diberikan kepada orang-orang yang membuat maksiat.
  12. Betapa ramai sebenarnya di luar sana yang bijak pandai tetapi malangnya hilang agama dan akhlak.Paling hampir dengan kita ialah perisitiwa kehilangan dua enjin jet TUDM yang disyaki dijual di luar negara oleh mereka yang berkhidmat di dalam TUDM itu sendiri.Orang-orang yang berilmu seperti inilah yang kita tidak ingin hasilkan kerana walaupun mereka berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmu yang ada malah menyalahgunakan ilmu itu pula.
  13. Maka,marilah kita sama-sama menjadi golongan yang berilmu hasil ketaqwaan kita kepada Allah!

2 Responses to Mana Lebih Baik,Belajar Di Larut Malam Atau Di Awal Pagi?:Satu Penilaian

  1. syahirah says:

    salam..
    sy pelajar perubatan di mansoura..
    boleh tak sy nk minta kebenaran utk
    siarkan entry blog anda dlm risalah kami di sini?
    (jika mendpt kelulusan dr pihak atsn)

Leave a comment