Andai Kupergi

September 28, 2009

Andai kupergi,

meninggalkan dunia ini,

usah ditangisi pemergian ini,

usah diratapi ketiadaan ini,

kerna semua makhluk kan pulang jua pada Illahi,

bila cukup masa nanti

Andai kupergi,

maafilah diri ini,

atas salah silap selama ini,

kerna diri ini,

tidak lain hanya hamba abdi,

pada Tuhan Yang Maha Abadi

Andai kupergi,

ku kirimkan salam ini,

buat ayah ibu yang dikasihi,

ampunkanlah dosa anakmu ini,

cuma sekadar ini,

mampu untuk menabur bakti

Andai kupergi,

ku hulurkan senyuman penutup tirai,

untuk sahabat yang dicintai,

bersamamu aku melayari,

bahtera hidup penuh onak duri,

semoga ukhuwwah kita duniawi dan ukhrawi

Andai kupergi,

Teruskanlah perjuangan sejati,

walau apa jua jalan ditempuhi,

menegakkan kalimah tauhid yang suci,

di serata alam dan galaksi,

mengatasi kalimah jahiliah yang keji

Andai kupergi,

kupohon setulus hati,

agar dimatikan husnul khatimah

tidak su’ul khatimah,

padaMu ku akan kembali,

dibentang nanti syurga yang mempesona dan neraka yang membakari,

dengan rahmatMu seluas langit dan bumi,

agar syurga firdausilah menjadi tempat tinggal abadi.

DR MARZUKI-10 SYAWAL 1430H


Kesedihan Meninggalkan Ramadhan Diubati Dengan Eidul Fitr

September 19, 2009

Hari ini berkemungkinan hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa namun keputusannya hanya akan diketahui secara rasmi hari ini selepas kaedah Rukyatul Hilal(melihat anak bulan) dilakukan di pelbagai tempat di Malaysia.Jika sekiranya hari ini yang terakhir bermakna tiada lagi malam bulan Ramadhan yang dijanjikan dengan tawaran yang begitu lumayan yang dijanjikan ALLAH kepada kita semua iaitu akan diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu.

Sebagai seorang muslim dan mukmin yang mengetahui dan menghayati tentang ganjaran berlipat kali ganda yang disediakan ALLAH sudah pastinya akan berasa sayu dan sedih untuk berpisah dengan bulan Ramadhan al-Mubarak.Bagaimana mungkin seseorang itu mahu menolak pemberian harta;kereta,rumah,emas,pakaian berjenama daripada sultan atau raja yang diberikan setiap hari selama sebulan kepadanya?Begitu juga dengan Ramadhan,bagaimana mungkin seseorang mukmin tidak sayu atau terasa terlepas dan berpisah dengan ganjaran-ganjaran yang sebenarnya lebih besar daripada tawaran harta yang disebutkan tadi daripada Sang Pencipta seluruh makhluk dan alam ini.

Ramadhan kali ini sudah tentu memberikan pelbagai makna dan kesan kepada diri kita semua.Ada yang bertambah-tambah imannya,atau sama sahaja imannya dengan bulan-bulan sebelum Ramadhan atau yang lebih merugikan bertambah kurang imannya pada bulan yang mulia ini.Marilah kita merenung sejenak satu hadis yang masyhur diriwayatkan oleh al-Imam Bukhori:

“Sia-sialah dan rugilah sesiapa yang melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosa ke atasnya”

Hadis ini meyebutkan secara jelas bahawa rugilah bagi mana-mana individu muslim yang diberikan kesempatan oleh ALLAH untuk hidup pada bulan Ramadhan tahun ini tetapi tidak melakukan amal soleh yang menyebabkan dirinya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.Mungkin di dunia ini kita tidak dapat merasai betapa besarnya rahmat ALLAH yang menawarkan keampunan ke atas dosa-dosa kita yang telah lalu.Tetapi bayangkanlah sekiranya kita di dunia ini tidak mendapat apa-apa habuan dunia,kita seorang yang papa kedana,hidup sebatang kara dan mati tanpa orang ketahui pun tetapi kita pulang kepada ALLAH di akhirat kelak dengan diampunkan dosa-dosa kita,maka itu sesuatu nikmat yang cukup besar yang tidak terbanding nilainya yang lebih baik dari segala isi dunia.

Maka kita yang menyedari akan hakikat ini,marilah kita terus berdoa dan memohon kepada ALLAH agar diampunkan dosa kita pada akhir Ramadhan ini seeloknya dengan doa yang diajarkan nabi iaitu “ALLAHUMMA INNKA AFUWWUN TUHIBBUL AFWA FA’FU ‘ANNi”(yang bermaksud Ya ALLAh,sesungguhnya engkau Maha Pemaaf,sukakan kemaafan maka maafkanlah aku).

Alhamdulillah,ALLAH Azza Wajalla yang bersifat Maha Mengasihani dan Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui akan hakikat mukmin sejati yang akan berasa sedih dengan pemergian Ramadhan,dikurniakan olehNya satu hari yang dinamakan Eidul Fitr bagi mengubati rasa sedih dan pilu di hati para mukminin.Maka,pada hari raya inilah orang yang beriman akan raikan sebagai hari kemenangan kerana telah berjaya membina benteng kukuh bagi menahan diri dari semua perkara yang boleh membatalkan puasa dan mencacatkan termasuklah perkara halal yang  dibenarkan pada bulan lain untuk dilakukan tetapi pada bulan Ramadhan dilarang iaitu makan,minum dan bersetubuh dengan isteri.

Bahkan hari raya sebenarnya bukanlah hari untuk kita bersedih sebagaimana yang digambarkan oleh sebahagian lagu-lagu raya,cerita-cerita raya di tv bahkan irama takbir raya negara kita yang menyedihkan sebaliknya pada hari raya ini kita dibenarkan untuk bergembira dan meraikan hari raya dengan kadar-kadar yang dibenarkan oleh syarak.Hal ini di mana nabi SAW pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :

دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد

Ertinya : “Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya” ( Riwayat Al-Bukhari)

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA

Di bawah ini beberapa amalan sunnah yang diamalkan oleh nabi s.a.w. semasa hari raya Eidul Fitr dan di bulan Syawal,antaranya:

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : “Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.

2) Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…”

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah “Taqabbalallahu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya  dan aku katakan pada baginda “taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka” ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5)Memakai pakaian terbaik yang ada:

Walaupun demikian,perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal

6)Menukar jalan ke tempat solat(balik dan pergi)

Ia berdasarkan hadis dari Jabir r.a. yang menyebut bahawa nabi s.a.w. biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya(Riwayat Bukhori)

7)Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi

8)Berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal

Hal ini berdasarkan hadis nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dalam sohihnya,kitab al-Shiyam,hadis ke 1164:

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun”

RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA

Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan ‘chat’, berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Semoga kita semua meninggalkan Ramadhan kali ini dengan membawa ruhnya ke dalam bulan-bulan yang lain dan terus beristiqamah dengan amalan-amalan yang telah dilakukan pada bulan Ramadhan.Akhirnya,saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITR 1430H kepada semua pelawat yang melayari blog ini.TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM.Semoga ALLAH menerima amalan kita dan amalan kamu semua.

Sumber:

1.Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

2.Buku ‘Menyambut Ramadhan dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasululullah s.a.w.’ oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus





Masa

September 10, 2009

Masa


Lailatul Qadr

September 9, 2009

Masa berlalu begitu sehingga kita tak terasa pun ia terus dan terus berjalan.Dan kita sekarang insya ALLAH akan memasuki fasa 10 hari terakhir Ramadhan.Tempoh ini saya kira kita semua telah ketahui bahawa ALLAH telah menjanjikan di antaranya satu malam yang dinanti-nantikan oleh orang-orang yang beriman iaitu Lailatul Qadr.Saya tidak sempat membuat pembacaan dan kajian yang mendalam mengenai hal ini  tetapi saya kira elok untuk pelawat-pelawat membaca artikel yang saya sertakan yang ditulis oleh seorang tokoh yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Zaharuddin.

Untuk membaca artikel berkenaan,sila klik di sini.

Semoga mendapat manfaat daripada perkongsian ini.Marilah sama-sama kita meningkatkan lagi amal ibadat kita pada 10 hari yang terakhir ini mudah-mudahan kita akan  mendapat ganjaran yang besar yang dijanjikan oleh ALLAH Azza Wajalla kepada kita semua sebagaimana sabda nabi s.a.w:”Barangsiapa yang menghidupkan Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan(terhadap keredhaan ALLAH) maka diampunkan kepadanya dosa-dosa yang telah lalu”(Muttafaqun Alaih).


Wajah Suci-MESTICA

September 8, 2009

Manakah perginya ihsan seorang manusia,ayuhlah kita,yang sedar dan beragama,hindarilah dari budaya bercouple dan berpasangan,agar terhindar semua ini,bukalah seluas-luas ruang untuk pernikahan yang sah.


Hingga Ke Akhir Ramadhan Ini

September 7, 2009

Hingga Ke Akhir Ramadhan Ini


Pesanan Buat Adik-Adik Yang Akan Ke Mesir

September 2, 2009

Tiba-tiba saya terasa terpanggil untuk menulis suatu artikel khas buat adik-adik yang akan ke Mesir tidak lama lagi.Mungkin sebelum daripada ini,telah ramai abang dan kakak lain yang telah memberi pesanan dan nasihat,namun mungkin di sini ada beberapa aspek yang tidak disentuh oleh mereka.

Sebelum terlupa,saya ingin mengucapkan tahniah kepada adik-adik yang dipilih oleh ALLAH Azza Wajal kerana dapat menyambung pelajaran di bumi Mesir.Mungkin kita semua mengatakan kita telah dipilih oleh JPA,MARA atau badan penaja lain,tetapi hakikatnya inisemua adalah takdir ketentuan ALLAH dan rezeki-Nya kepada kita dianugerahkan peluang untuk menimba ilmu di sana.Berapa ramai kawan kita yang mungkin cemerlang juga keputusan peperiksaan SPMnya tetapi tidak berpeluang untuk mendapat tajaan seperti ini.Maka,marilah kita memperbanyak kesyukuran kita kepada-Nya.

Baiklah,saya ingin gariskan beberapa peringatan yang dirasakan perlu diketahui oleh adik-adik.Hal ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang tidak seberapa ini di Mesir hampir selama setahun.

1)MENGUBAH PERSEPSI DAN BERSEDIA SEPENUHNYA SECARA FIZIKAL DAN MENTAL

Bila disebutkan Mesir,ramai daripada kita terbayang sebuah negara yang biasa,yang dipenuhi dengan padang pasir,pohon-pohon kurma serta unta.Kita juga membayangkan masyarakat di sana mengamalkan Islam secara sempurna dan kebanyakan wanita mereka memakai jubah serta berpurdah.Sebenarnya jangkaan dan agakan ini tidak tepat untuk menggambarkan negara Mesir lebih-lebih lagi di ibu kota Kaherah.Adik-adik yang akan belajar di universiti-universiti yang terdapat di Kaherah seperti Universiti Kaherah,Universiti Ains Shams dan Universiti Al-Azhar akan mendapati bahawa kota Kaherah ini ialah sebuah ibu kota yang sedang membangun namun tidaklah sepesat seperti Kuala Lumpur.

Di Kaherah,sukar sekali untuk kita menjumpai unta dan pohon-pohon kurma kerana ia dikelilingi oleh bangunan-bangunan batu sahaja.Hanya satu dua sahaja pokok yang besar dapat kita temui.Manakala wanita di sana pula,pada pengamatan saya hanya 40% sahaja yang memakai pakaian mengikut syarak,selebihnya tidak mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh syarak.Bagaimanapun saya ingin memuji golongan lelaki di Mesir kerana kebanyakan mereka berambut pendek dan berkasut.Tidak pernah saya temui golongan-golongan seperti Punk,Skin Head dan sealiran dengannya yang makin bercambah di Malaysia wujud di Mesir.Alhamdulillah,ini mungkin kerana mereka tidak begitu didedahkan dengan unsur sedemikian ataupun budaya masyarakat di sana menolaknya.

Permandangan di bandar Kaherah

Permandangan di bandar Kaherah

Mungkin ada abang atau kakak yang pernah mengatakan bahawa orang Mesir ini sedikit kasar.Ya,memang benar.Saya akui bahawa orang Mesir ini agak kasar berbanding dengan kita orang Malaysia.Pernah guru Mesir yang mengajar bahasa Arab kepada saya di Markaz Lughah Nil,Ustaz Ibrahim Azzam mengatakan orang Malaysia ini umpama malaikat yang berjalan di atas muka bumi kerana kesantunan dan keramahan pelajar Malaysia dalam banyak perkara.

Contoh yang saya boleh berikan untuk menggambarkan orang Mesir ini sedikit kasar ialah mereka dalam banyak hal suka bertengkar,bertikam lidah dan meninggikan suara.Maka tidak hairanlah jika kita dapati pemandu bas yang sedang memandu bas yang sarat dengan penumpang boleh berbalah dengan pemandu kereta di sebelahnya ketika masing-masing sedang bergerak sedangkan jalan raya pada masa itu juga sibuk dan penuh dengan kenderaan-kenderaan lain.

Bagi lelaki,untuk kita naik atau turun daripada bas,jangan kita tunggu sehingga bas itu sepenuhnya kerana kadang-kadang sahaja pemandu bas berbuat demikian.Untuk naik atau turun daripada bas kita perlu melompat sedikit tetapi dengan teknik yang betul.Ada sahabat saya yang pernah terjatuh ketika melompat untuk turun daripada bas.Maka berhati-hatilah dan pelajarilah teknik yang betul daripada abang-abang di sana nanti.Namun,bagi perempuan,alhamdulillah mereka tidak perlu bersusah-payah seperti itu kerana saya dapati kebanyakan pemandu bas kebiasaannya akan memberhentikan bas sepenuhnya jika ada perempuan yang ingin naik atau turun daripada bas.

Walaupun orang Mesir ini terkenal dengan kekasarannya,namun sebenarnya mereka sebenarnya ada satu sifat yang menarik iaitu suka bergurau atau membuat lawak.Umpamanya yang boleh saya sebutkan,jika kita ingin membayar duit untuk barang yang kita beli,sebahagian peniaga Mesir akan mengatakan “kholli” yang bermaksud lebih kurang begini “tak payah bayar,simpan je duit tu.percuma”.Bagaimanapun sebenarnya itu hanyalah gurauan semata-mata kerana jika kita keluar dari kedai dengan tidak membayar,mereka akan memanggil balik kita meminta wang bayaran.Banyak lagi gurauan-gurauan yang mereka selalu buat.Jika kita mampu bercakap dan memahami bahasa Arab ‘Ammi dengan baik,kita akan tahu bahawa masyarakat Mesir ialah masyarakat yang suka bergurau dan membuat lawak jenaka.

Oleh itu,adik-adik semua perlulah mengubah persepsi mengenai Mesir yang mungkin sebelum ini tidak tepat.Ada sebahagian ustaz yang menceritakan bahawa Mesir adalah negara yang sangat teruk.Bagi saya tidak!Mesir seperti negara-negara lain yang mempunyai kelebihan dan kekurangan.Maka kita sebagai orang yang dikurniakan akal oleh ALLAH seharusnya mencontohi nilai yang baik itu dan meninggalkan apa yang tidak baik.

Kekuatan dari segi fizikal dan mental perlu ditanam kerana iklim dan cuaca di sana jauh berbeza dengan Malaysia.Di sana,dipenuhi dengan debu-debu dan mempunyai musim panas dan sejuk yang agak panjang.

Keadaan di dalam dewan kuliah

Keadaan di dalam dewan kuliah

2)BUKU YANG PERLU DIBAWA

Perkara ini banyak diabaikan oleh ramai orang.Bila tiba di sana,barulah kita rasa menyesal kerana tidak membawa buku yang sepatutnya bersama dahulu.Bagi saya,buku yang mesti dan mesti dibawa ialah segala jenis buku dan nota yang berkaitan dengan bahasa Arab.Bagi mereka beraliran agama di sekolah menengah dahulu,bawalah buku-buku nota berkaitan dengan bahasa Arab.Hal ini kerana semua itu diperlukan untuk kita memperkukuhkan lagi penguasaan bahasa Arab kita di sana.

Sebahagian daripada kita apabila ditanya kenapa memilih Mesir sebagai destinasi pengajian pilihan,mengatakan kerana ingin menuntut ilmu agama di sana di samping ilmu perubatan.Sedarkah kita kunci kepada penguasaan ilmu agama ialah penguasaan kita dalam bahasa Arab kerana kebanyakan kitab agama adalah dalam bahasa Arab dan,al-Quran serta hadis nabi s.a.w. juga dalam bahasa Arab.

Bagi yang belajar bahasa Arab di sekolah menengah,ketahuilah bahawa apa yang diajar di peringkat SPM sebenarnya adalah di peringkat yang agak tinggi kerana mempunyai Balaghah(sastera).Sebab itulah dinamakan Bahasa Arab Tinggi.Sebenarnya jika kita semak senarai subjek yang akan diambil dalam SPM terdapat juga subjek Bahasa Arab Komunikasi tetapi peringkatnya lebih rendah daripada Bahasa Arab Tinggi.Jika di Mesir,anda mengambil ujian peperiksaan bahasa Arab di mana-mana Markaz Lughah,kita akan dapati kebanyakan soalan yang terdapat di dalam ujian daripada peringkat persediaan hingga ke peringkat keempat,ianya telah dipelajari di sekolah dahulu.

Selain daripada itu,bawalah buku dan majalah ilmiah kerana di sana nanti kita hanya akan dihidangkan dengan bahan bacaan berbahasa Arab yang jika kita baca,kita sukar untuk memahaminya 100%.Jadi,buat sementara waktu ini dalam masa kita mempertingkatkan penguasaan bahasa Arab,setidak-tidaknya kita dapat menambah pengetahuan kita dengan bahan-bahan ilmiah yang dibawa dari Malaysia.

Ruangan yang terdapat di Universiti Kaherah ini kebiasaannya menjadi tempat berehat pelajar

Ruang rehat dan lepak di Universiti Kaherah

Bagi buku berkaitan perubatan,saya rasa tidak perlu untuk dibeli di Malaysia kerana di Mesir semuanya telah ada.Insya ALLAH pada bulan Disember nanti akan diadakan satu pesta buku besar-besaran(Ma’rad Kutub) di Mesir.Di situ,akan dijualkan pelbagai jenis buku dan bahan-bahan ilmiah sama ada dalam bidang agama mahupun perubatan.Jadi,dapatkan buku-buku perubatan International Edition di situ.

3)PEMILIHAN RAKAN SERUMAH(AHLI BEIT)

Hal ini juga sangat mustahak untuk diambil perhatian.Mungkin kebanyakan daripada kita pada awalnya tidak mengambil kisah sangat siapa rakan serumahnya.Tetapi ketahuilah,hakikat yang berlaku dalam kalangan abang atau kakak di Mesir,sudah banyak kes yang berlaku di mana ada yang berpindah rumah kerana tidak serasi dengan ahli beit bahkan ada yang tidak bertegur sapa dalam jangka masa yang lama.Maka,,hal ini mestilah dipandang serius.Bagi saya,ketepikan cakap-cakap orang dalam memilih ahli beit,kononnya kita assabiah dengan negeri atau sekolah.Apa yang penting,pastikan ahli beit kita itu serasi dan mudah berinteraksi dengan kita.

Bagaimanapun,apa yang lebih penting daripada itu sebenarnya pemilihan ahli beit mestilah berdasarkan pegangan agama yang teguh serta akhlak  mulia yang terdapat padanya.Mungkin kita tidak dapat pastikan semua ahli beit mempunyai ciri tersebut,tetapi paling kurang biar ada seorang yang demikian.Hal ini bagi memastikan kita mempunyai sahabat-sahabat yang prihatin dengan kita untuk menegur sekiranya kita telah terleka dan alpa ataupun telah membuat apa-apa kesalahan dan kesilapan.

Ketahuilah,diri kita ini sebenarnya banyak dibentuk oleh sahabat-sahabat rapat dan suasana persekitaran kita.Di sana nanti,sudahlah kita telah berjauhan dengan ibu bapa,maka bersama-sama sahabat-sahabatlah kita membina dan membentuk jati diri kita.Jika sahabat itu buruk,maka kecenderungan kita ke arah itu juga luas dan begitulah sebaliknya.

4)BARANG-BARANG YANG PERLU DIBAWA

Jika di atas,saya menyentuh mengenai buku yang perlu dibawa.Kali ini,lebih umum.Apa yang saya sebutkan di sini hanyalah apa yang terpenting,yang betul-betul tiada atau sukar didapati di Mesir.Bagi bahan-bahan masakan dan minuman adalah seperti berikut:

  • Santan.Seeloknya bawalah yang serbuk agar dapat menjimatkan berat bagasi yang dibawa nanti
  • Halia.Walaupun di Mesir sudah ada serbuk halia tetapi ada sesetengah masakan memerlukan halia mentah.Bagaimanapun di pasar raya Carrefour Mesir ada juga menjualnya tetapi agak jauh dari tempat tinggal.
  • Serbuk kunyit dan kunyit
  • Kerisik
  • Serai.Ada juga dijual di rumah-rumah anak negeri.
  • Serunding
  • Serbuk sup,kurma,kari,gulai dll
  • Ajinomoto
  • Sos cili.Sos di Mesir agak berbeza dengan di Malaysia
  • Budu.Ada dijual di rumah-rumah negeri
  • Milo.Tiada dijual di Mesir.Yang ada hanyalah serbuk koko yang sebenarnya digunakan untuk membuat kek

Ini sahaja yang terlintas di fikiran sekarang ini.Mungkin ada bahan-bahan lain yang lupa saya senaraikan sebenarnya juga sukar untuk didapati di Mesir.Maka,rujuklah abang atau kakak yang lain yang sedang atau pernah belajar di Mesir.

Selain daripada itu,belilah baju sejuk di Malaysia siap-siap kerana pada bulan Disember nanti akan bermulanya musim sejuk.Baju sejuk yang terdapat di Mesir juga ada tetapi tidak banyak pilihan.Begitu dengan kasut dan sandal.

Akhir kata,saya ingin mengucapkan selamat berangkat kepada adik-adik yang akan pergi ke Mesir pada 14hb Sept ini.Galaskan bersama-sama adik-adik di samping bagasi-bagasi yang dibawa nanti,semua harapan Islam,negara,ibu-bapa,JPA dan rakyat Malaysia yang ingin melihat kita semua menjadi seorang doktor Muslim yang professional dan bertaqwa apabila kita pulang nanti.


Suasana Ramadhan Yang Dirindui

September 1, 2009

Kali ini kali ketiga saya menulis berkaitan Ramadhan.Bukan kerana kekeringan isu atau idea,tetapi mengambil kira bulan Ramadhan yang hanya datang sekali dalam setahun.Jadi,rasanya elok kita sentiasa menilai dan memuhasabah diri kita sebelum Ramadhan kali ini berlalu.Alhamdulillah saya tiba di Malaysia pada hari Khamis lalu dan berada di negara tercinta ini hampir enam hari.Mulanya,terasa berat kaki untuk meninggalkan sekejap bumi Mesir.Mujurlah ia diubati dengan kegembiraan dan kerinduan bertemu dengan keluarga tersayang.

Sebenarnya saya sempat untuk merasai suasana Ramadhan di Mesir selama beberapa hari buat pertama kali.Saya cukup terpegun dengan suasananya yang berbeza sama sekali dengan di Malaysia.Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman yang tidak seberapa ini mengenai suasana Ramadhan di Mesir.Di sana,menjelangnya 10 hari terakhir bulan Syaaban saya mula perasan mengenai persediaan yang telah dilakukan oleh masyarakat Mesir akan ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak.Rata-rata masjid didapati mula menukar karpet-karpet lama dengan yang baru.Ada juga masjid dicat dengan cat yang baru dan ditambah dengan peralatan-peralatan baru.

Di tepi-tepi jalan,para peniaga mula menjual begitu banyak sekali tamar(kurma kering),aprikot,pelbagai jenis kacang,kismis dan sebagainya.Paling terkejut apabila di Mesir ini,dijual begitu banyak fanus(tanglung) sempena bulan Ramadhan.Jika di Malaysia,ia hanya digunakan oleh masyarakat Cina.Ramai yang membelinya dan menggantungkannya di rumah masing-masing.

Apabila masuk sahaja malam pertama Ramadhan,kebanyakan orang Mesir saling mengucapkan “kullu sanah wa antum bikhoir” atau “kullu ‘aam wa antum bikhoir”.Saya tidak terkecuali diberikan ucapan itu sempena ketibaan Ramadhan oleh seorang pemandu teksi semasa saya berada di dalam teksinya.

Solat tarawih di sini pula kebanyakannya 8 rakaat.Ada yang habis cepat dan ada yang lama.Yang lam, imam biasanya membaca sebanyak satu maqra atau satu hizb untuk satu rakaat.Bagi yang pertama kali,memang akan rasa penat dan letih.Tapi,alhamdulillah kebanyakan imam di sini mempunyai suara-suara yang merdu.Umpamanya di tempat saya,suara imam,Dr Kholid Abu Syadi mempunyai suara yang seiras dengan Syeikh Misyari al-Afasi.Bila mendengarnya suaranya seakan-akan mendengar daripada kaset.Imam ini pula mudah tersentuh apabila membaca al-Quran ketika solat.Pernah beberapa kali beliau menangis apabila  membaca ayat berkenaan azab.Beliau juga seorang yang pandai berdoa.Kebanyakan orang Mesir akan menangis teresak-esak apabila beliau berdoa qunut ketika solat witir.Satu keadaan yang sukar didapati di Malaysia.Di Mesir ini juga,tiada selawat yang dilakukan antara solat tarawih dan kebiasaannya akan diadakan tazkirah selama 5 atau 10 minit selepas 4 rakaat solat tarawih.Solat tarawih akan disambung semula selepas berakhirnya tazkirah tersebut.

Menurut sahabat Mesir saya,Dr Muhammad,pada 10 malam terakhir,imam yang saya sebutkan di atas akan membuat solat tahajud bermula pukul 12 malam sehingga pukul 3 pagi.Beliau akan menghabiskan sebanyak 3 juzuk dalam solat tahajud  bagi satu malam.Selama 10 malam terakhir itu,satu al-Quran akan dikhatamkan dalam solat tahajud.Saya tidak dapat bayangkan berapa lama perlu berdiri dan bertahan.Tetapi jemaah di sana tetap penuh bahkan lebih ramai daripada awal dan pertengahan Ramdhan kerana mereka tahu dan sedar bahawa pada 10 malam terakhir terdapatnya Lailatul Qadr,malam yang jika beribadat padanya lebih baik daripada beribadat selama seribu bulan.

Jika di Malaysia,kita ada moreh selepas solat tarawih tetapi di Mesir di kebanyakan tempat mempunyai hidangan yang dipanggil “maaidatul rahman” iaitu hidangan berbuka yang disediakan untuk semua orang tidak kira sama ada kaya atau miskin,kecil ataupun tua.Maka bulan Ramadhan menjadi bulan rahmat kepada fakir miskin yang sebelum ini susah untuk mendapatkan makanan,di bulan ini mereka dijamu selama sebulan secara percuma.Ada juga pelajar-pelajar Malaysia yang malas untuk memasak untuk berbuka turut serta dalam merasai hidangan ini.Menurut sahabat saya,ada di setengah tempat yang menghidangkan ayam kentaki untuk hidangan berbuka ini.Bila difikirkan balik,konsep yang diamalkan oleh masyarakat Mesir lebih menepati sunnah nabi kerana pahala menyediakan makanan untuk orang lain berbuka puasa adalah sama dengan pahala orang yang berpuasa.

Saya pernah sebut dalam artikel sebelum ini bahawa bulan Ramadhan ialah bulan al-Quran kerana ia diturunkan pada bulan ini.Di Mesir,mereka cukup memahami akan hal ini.Maka tidak hairanlah jika kita akan mendapati rata-rata masyarakat Mesir membawa al-Quran di mana-mana sahaja.Bayangkan adakah kita pernah ternampak di Malaysia seseorang yang membaca kitab al-Quran yang sederhana besarnya di dalam bas ataupun komuter?Mungkin ada yang pernah ternampak,tapi amat jarang sekali.Di Mesir,perkara sebegitu biasa dan menjadi amalan mereka.Mereka akan cuba mengkhatamkan sebanyak mungkin al-Quran.

Bagaimanapun di Malaysia,keadaan begitu berbeza sekali.Saya semasa hari-hari awal saya berada di Malaysia,saya sempat masuk ke Megamall di Kuantan.Terkejut sekali apabila sudah didendangkan lagu-lagu raya sedangkan Ramadhan masih di permulaan.Rata-rata orang mula sibuk memikirkan persediaan untuk Hari Raya Eidul Fitr.Jika pada awal Ramadhan masjid dipenuhi dengan jemaah semasa solat tarawih,tetapi di 10 malam terakhir tinggal saf untuk imam dan bilal sahaja serta beberapa kerat orang yang sudah pun pencen.Semuanya pada masa itu sudah tidak sabar-sabar lagi menantikan dengan kehadiran Eidul Fitr.Bulan Ramadhan seolah-olah sekadar satu jarak masa untuk menunggu hari raya.Ramai yang mengsia-siakan peluang yang terbentang luas untuk mendapat keampunan dan rahmat ALLAH pada bulan Ramadhan ini.

Oleh itu,saya menyeru diri ini dan siapa sahaja yang berkesedaran akan hal ini,supaya berusaha sedaya upaya untuk mengubah suasana ini agar masyarakat lebih memahami akan kepentingan dan kelebihan bulan Ramadhan ini melebihi segala bulan serta agar diri ini tidak lagi merindui suasana Ramadhan di negara orang.

.