Mengapa Perlu Menulis?

Mereka yang pernah melalui sistem pendidikan formal ataupun tidak formal tentunya mempunyai beberapa kemahiran antaranya mampu menulis.Kemahiran ini bukanlah boleh diperoleh dengan sekelip mata tetapi memerlukan kepada latihan dan praktis semasa alam sekolah rendah.Lihatlah bagaimana kesungguhan ibu bapa dan guru-guru kita yang berpenat-lelah mengajarkan kita cara untuk menulis sehingga pada hari ini kita mampu menulis dengan baik bukan sahaja dalam bahasa Melayu malah bahasa-bahasa lain.Apabila kita membaca sejarah tamadun manusia,kita mendapati berlakunya perkembangan dan perubahan dalam sistem penulisan.Tulisan jawi pada hari ini tidak sama ejaannya sebagaimana pada zaman Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.Begitu juga dengan penulisan rumi.

Komunikasi antara manusia

Kebiasaannya,kita menggunakan mulut untuk bercakap sebagai satu cara untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan manusia di sekeliling kita.Namun,bukan setiap masa kita mampu untuk bercakap dan percakapan kita  sebenarnya hanya terbatas dan didengari oleh orang-orang yang berada di sekeliling kita pada waktu itu.Oleh sebab itulah,manusia mencipta sistem penulisan sebagai salah satu cara yang lain untuk berkomunikasi sesama mereka.Manusia akan menulis surat untuk menghantar mesej dan maklumat kepada orang yang berada jauh dari mereka.Pada zaman yang lalu,manusia telah menggunakan khidmat burung bagi menghantar surat bekenaan sebelum adanya sistem posmen.Itulah juga yang digunakan oleh Nabi Sulaiman a.s. dengan menghantar burung Hud bagi menyampaikan surat mengandungi mesej dakwah baginda kepada ratu Saba’.

Pada masa kini,komunikasi melalui penulisan menjadi lebih mudah.Manusia mampu untuk menghantar e-mel kepada mereka yang berada di mana sahaja hanya dalam beberapa saat selagi mana mereka mempunyai kemudahan internet di sana.Belum lagi bercerita mengenai sistem pesanan ringkas(SMS) dan chatting,semuanya itu menjadi penanda aras bahawa komunikasi melalui penulisan menjadi semakin mudah dan pantas.

Menyebarkan ilmu dan fikrah

Sejak dari dulu lagi,penulisan sering dikaitkan dengan ilmu,umpama irama dan lagu yang tak dapat dipisahkan.Sehingga ke hari ini,entah berapa banyak kitab dan buku yang ditulis oleh manusia bagi menyebarkan ilmu dan pemikiran kepada manusia.Dalam dunia Islam, hampir kebanyakan ulama’ muktabar menulis dengan begitu banyak kitab yang berkaitan dengan pelbagai jenis cabang ilmu Islam.al-Imam Nawawi rahimahullah umpamanya walaupun meninggal pada usia yang agak muda iaitu pada usia 45 tahun,tetapi beliau telah mengarang kitab yang tidak terhitung banyaknya sehingga ke hari ini masih diguna pakai secara meluas oleh dunia Islam seperti kitab Riyadus Solehin,Matan al-Arba’in,al-Adzkar dan banyak lagi.

Itu hanya salah satu contoh ulama’ yang telah berjaya menyebarkan ilmu pengetahuan bukan hanya kepada orang di zamannya malah sehingga ke hari ini.Itulah kekuatan penulisan berbanding percakapan dalam memastikan ilmu sampai kepada manusia.Lihatlah juga kepada tokoh-tokoh pendakwah Islam era 90-an seperti al-Imam Hassan al-Banna,Sayyid Qutb,Syeikh Abu ‘Ala al-Maududi dan ramai lagi,kesemuanya mempunyai penulisan,artikel,wakalah,dan kitab yang ditulis bagi menyampaikan pemikiran usaha pembaharuan(tajdid) mereka ke atas urusan agama kepada umat Islam sehingga kita pada hari ini mendapat manfaat yang sangat besar dalam merancang gerak kerja dakwah hasil daripada penulisan-penulisan mereka.

Namun pada hari ini,tidak ramai yang sanggup terjun ke dalam dunia penulisan.Mungkin ramai yang merasakan kesempitan masa untuk mengerah idea untuk menulis dan merasa tidak mampu untuk menulis dengan baik.Saya lihat ramai di luar sana para pendakwah yang hebat dari segi ilmu dan percakapan mereka,namun agak rugi sekiranya mereka tidak menyampaikan pemikiran dan fikrah dakwah yang mereka pegangi melalui penulisan.Hal ini kerana,melalui penulisan inilah yang akan sentiasa bersama umat Islam walaupun kita telah tiada.Mungkin ramai yang membaca penulisan-penulisan kita walaupun pada masa itu kita telah pun pergi.Bahkan,sebenarnya dengan penulisan itu mampu menjadi sedekah jariah kepada kita sekiranya mengandungi ilmu-ilmu yang bermanfaat kepada orang lain.Masih belum terlambat untuk menulis.Ia sebenarnya memerlukan praktis,kesungguhan,istiqamah serta keikhlasan untuk menghasilkan penulisan yang bermanfaat kepada umat Islam khususnya dan seluruh manusia amnya.

Cara Berdakwah

Sebahagian daripada kita berasa janggal dan takut untuk menasihati kawan-kawannya ‘face to face’.Mereka bimbang kawannya akan berkecil hati dan dia akan disisihkan.Apa penyelesaian anda kepadanya?Jawapan saya ialah jika tak mampu untuk menasihati dengan perkataan gunakanlah medium penulisan untuk menasihati mereka.Tulislah mesej,emel atau surat kepada mereka yang mengandungi teguran dan kata-kata nasihat yang berhikmah.Sebahagian manusia boleh menerima cara teguran ini dengan baik kerana melalui cara ini terhindar daripada unsur-unsur untuk mengaibkan mereka dan menunjukkan keikhlasan si pemberi nasihat yang sanggup menulis satu surat khas untuk diri mereka.Hal ini sangat penting kerana sebahagian daripada para pendakwah ada yang tak mampu untuk mengawal daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat,kasar dan tidak berhikmah dalam berdakwah sehingga boleh menimbulkan rasa kebencian pada orang yang mendengarnya.Bagi pendakwah seperti ini,mereka seharusnya menggunakan medium penulisan untuk berdakwah agar gerakan dakwah tidak tercemar disebabkan perkataan mereka.

Antara contoh praktikal lain yang boleh digunakan untuk berdakwah melalui penulisan ialah umpamanya menghantar sms kepada mad’u(orang yang didakwah) sempena peristiwa-peristiwa penting dalam hidup mereka seperti peperiksaan,hari lahir,mendapat apa-apa kejayaan dan sebagainya,menulis satu komen sehari di dalam Facebook,Friendster atau mana-mana laman sosial yang menyentuh perihal dakwah dan sebagainya.

Sepatutnya pada hari ini mesej dakwah lebih cepat disebarkan dan disampaikan dengan adanya kemudahan komputer,internet dan telefon mudah alih.Jika bukan kita yang menyampaikan dakwah melalui penulisan siapa lagi yang akan melakukannya?

Kesimpulan

Para pendakwah tidak seharus memandang ringan keperluan berdakwah melalui penulisan.Cumanya haruslah diingatkan di sini bahawa, kita menulis bukan untuk nama kita disebut atau dikenang oleh orang lain sebaliknya hanya menyempurnakan tanggungjawab yang terpikul untuk menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai.Amat rugilah bagi mereka yang mengejar populariti,nama atau ranking blog melalui penulisan mereka.Ingatlah hanya penulisan yang ikhlas sahaja yang akan kekal ganjarannya pada hari muka nanti.Jika tak mampu berjuang melalui mata pedang,berjuanglah menggunakan mata pena!

Leave a comment