Profesional Daie, Generasi Rabbani

*Artikel saya yang terpilih memenangi pertandingan menulis artikel The Zikr PERUBATAN (Persatuan Pelajar Perubatan Malaysia Mesir)

Kita semua percaya dan yakin bahawa Islam ialah satu-satunya agama yang benar dan tulen diturunkan oleh Tuhan Yang Maha Benar lagi Maha Berkuasa untuk mengeluarkan manusia daripada daerah kufur kepada daerah iman,daripada penghambaan sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Tuhan Yang Maha Satu,daripada kekekejaman agama-agama kepada keadilan Islam,dan daripada dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat. Untuk melaksanakan semua misi dan visi ini, Allah s.w.t. telah mengutuskan para rasul-Nya pada setiap zaman bagi mengajar dan membawa manusia kepada erti kehidupan dan penciptaan mereka yang sebenar di atas muka bumi. Apabila kita membaca kisah-kisah para Rasul alahimussalam, kita akan dapati hampir kebanyakan daripada mereka akan dikelilingi oleh individu-individu yang ikhlas membantu perjuangan mereka menyampaikan Islam kepada umat mereka. Sebagai contoh, satu kumpulan manusia yang telah disebutkan dan digelar sebagai al-Hawariyyun  yang telah berjanji setia kepada Nabi Isa a.s. untuk menjadi penolong dan penegak kepada agama Allah. Hal ini telah dirakamkan sendiri oleh al-Quran:

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”, lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.” (surah as-Saff,ayat 14)

Begitu juga dengan sirah Rasulullah s.a.w..Apabila kita membelek lembaran-lembaran sirah Nabi Muhammad s.a.w. kita pasti akan terjumpa dengan individu-individu yang sangat hebat berada pada setiap perjalanan dakwah dan perjuangan Nabi s.a.w..Mereka inilah yang telah banyak membantu Nabi s.a.w. dalam membawa risalah Islam yang suci ini dengan hanya beberapa orang sahaja yang beriman dengan risalah ini pada peringkat permulaan sehinggalah akhirnya risalah ini berjaya sampai ke tangan kita pada hari ini. Mereka ini merupakan satu kelompok manusia yang bulat imannya kepada Allah dan Rasul mereka, yakin sepenuhnya dengan risalah  yang dibawa, kukuh ikatan tali persaudaraan Islam sesama mereka, sabar dan tabah menghadapi setiap ujian yang datang, tersangat zuhud pada habuan dunia sebaliknya mendambakan habuan akhirat, dan cahaya risalah Islam terpancar melalui setiap gerak geri dan tingkah laku mereka. Mereka umpama al-Quran yang berjalan di atas muka bumi ini. Setiap manusia pada zaman itu mampu melihat dengan jelas sinar kebenaran Islam yang memancar daripada diri mereka ke setiap penjuru dunia yang mereka masuki.

Namun, pada hari ini dunia telah kehilangan generasi yang agung seperti mereka. Manusia pada hari ini yang kononnya mengakui kebenaran risalah ini tenggelam dengan dunia ciptaan mereka sendiri. Mereka telah meninggalkan tanggungjawab dan tugas yang telah dilaksanakan oleh golongan penolong dan penegak agama Allah sebelum daripada mereka. Mereka hanya mampu menceritakan kebenaran risalah ini sebaliknya gagal mempamerkan bukti kebenaran tersebut pada setiap amalan dan aspek kehidupan mereka pada masyarakat dunia. Sangat mendukacitakan lagi apabila masyarakat dunia hari ini telah mengaitkan mereka dengan kemiskinan, ketinggalan dalam bidang ilmu pengetahuan, malas bekerja, tidak produktif, serta pelbagai persepsi negatif yang sebenarnya telah mencemarkan kesucian,kemuliaan dan keagungan risalah ini.

Kita harus sedar dan menyakini bahawa risalah ini tidak akan tertegak tanpa adanya golongan  manusia yang menegakkannya. Tuhan yang telah menurunkan risalah ini ingin melihat manakah antara hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas dan  bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas mereka membawa dan menyampaikan Islam. Menyedari hakikat ini, maka tepatlah seruan yang dibawa al-Imam Hassan al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin yang ingin membina kembali golongan seperti para sahabat Nabi s.a.w. bagi menyambung kembali rantai-rantai perjuangan dalam membawa risalah yang agung ini. Golongan ini dinamakan sebagai ‘jailul amal’ yang bermaksud generasi harapan. Generasi harapan inilah yang diharap-harapkan akan membawa kembali Islam kepada puncak kegemilangan Islam pada zaman Abbasiyah. Namun, tugas membina generasi harapan ini bukanlah satu tugas yang mudah dan cepat sebaliknya ia memerlukan kepada jiwa yang ikhlas dan rabbani, perancangan yang tersusun dan rapi  serta kekuatan rohani dan fizikal. Sebagaimana yang dinyatakan sendiri oleh al-Imam Hassan al-Banna: “Bukanlah generasi harapan ini dibina pada generasiku sebaliknya selepas beberapa generasi”.

As-Syeikh Ahmad Mustafa Faisal dalam mukadimah kitabnya ‘Ashabul Rasul’ menyatakan: “Allah s.w.t telah memberi taufik kepada aku untuk menyediakan hasil kerja ini mengenai sirah para sahabat Rasulullah s.a.w.,(mereka merupakan) sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan untuk seluruh manusia, beriman dengan risalah Rasul mereka, golongan  yang sedikit tetapi telah membina umat dan tamadun agung lagi kukuh yang mana tiangnya ialah keimanan, kejujuran, kerahmatan, keikhlasan, kasih-sayang dan taqwa.” Inilah antara ciri-ciri sahabat Nabi s.a.w. yang telah membina tamadun Islam dengan penuh kesungguhan dan professional hanya semata-mata  ingin mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t dan mengharapkan generasi selepas mereka mendapat nikmat menyakini kebenaran risalah sebagaimana mereka rasai.

Jika kita membaca kisah-kisah mereka,kita dapati bahawa ramai daripada sahabat Nabi s.a.w. yang merupakan antara orang-orang yang professional di zaman itu dalam bidang-bidang tertentu umpamanya bidang perniagaan. Antara tokoh yang menonjol dalam bidang ini ialah Abu Bakr as-Siddiq, Abdul Rahman bin Auf dan  ramai lagi. Mereka ini sangat cemerlang dalam bidang perniagaan sehingga mereka dapat menjadi kaya raya hasil perniagaan tersebut. Namun, kecemerlangan dan kekayaan mereka itu tidak pernah sekali-kali menghalang mereka untuk membawa risalah Islam kepada masyarakat sebaliknya mereka menggunakan kekayaan yang ada untuk membantu dan menyebarkan perkembangan dakwah Islam.

Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mempersaudarakan antara Abdul Rahman bin Auf dengan Sa’d bin al-Rabi’ sehingga beliau (Sa’d bin al-Rabi’) berkata kepada Abdul Rahman: “Sebenarnya aku ini orang Ansar yang paling banyak hartanya,maka aku ingin membahagi dua,isteriku pun dua maka kau pilihlah salah seorang yang berkenan di hati kau lalu aku akan ceraikan,selepas iddahnya kau kahwinlah dengannya.” Kata Abdul Rahman: “Semoga Allah memberkati kau pada keluarga dan harta kau, cuma aku hendak tahu di mana pasar kamu di sini?”. Maka, orang Ansar pun menunjuk pasar Bani Qainuqa’, lalu beliau terus ke sana membawa barang keperluannya yang lebih untuk dijual di pasar seperti minyak sapi dan mentega hingga ke esok hari.

Lihatlah sifat profesionalisme yang ada pada diri Abdul Rahman bin Auf, setelah dia telah meninggalkan semua harta perniagaannya di Mekah semata-mata kerana ingin berhijrah ke Madinah dan tiba di Madinah,lalu Sa’d bin al-Rabi iaitu salah seorang daripada penduduk Madinah telah menawarkan kepadanya harta dan isteri. Namun, beliau telah menolak tawaran tersebut.Bukan sahaja beliau tidak mengambil kesempatan atas tawaran yang ditawarkan sebaliknya beliau telah pergi ke pasar bangsa Yahudi untuk memulakan kembali perniagaannya dari bawah sebagaimana yang telah dilakukannya di Mekah. Beliau langsung tidak bergantung kepada belas ihsan orang lain sebaliknya bergantung utuh dengan iman dan tawakal kepada Allah s.w.t.

Oleh yang demikian, golongan-golongan professional Muslim pada hari ini sepatutnya mencontohi sikap yang telah ditunjukkan oleh sahabat Nabi s.a.w. Golongan doktor Muslim umpamanya tidak sepatutnya mengejar kemewahan yang diperolehi hasil kerja mereka hanya untuk diri mereka sahaja sebaliknya membelanjakan harta yang diperolehi untuk menyebarkan risalah Islam kepada pesakit-pesakit mereka, jururawat dan kakitangan hospital serta masyarakat sekeliling mereka. Gunakanlah kepakaran-kepakaran yang dimiliki dalam bidang perubatan dengan menyertai misi-misi keamanan yang dianjurkan oleh pelbagai agensi terutamanya di negara-negara umat Islam seperti Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya. Contohilah Abdul Rahman bin Auf yang sanggup melepaskan dan meninggalkan semua harta perniagaannya di Mekah semata-mata ingin memastikan cahaya Islam terus terpancar dengan berhijrah ke bumi Yathrib. Mereka juga tidak sepatutnya selesa dengan pelbagai imbuhan,elaun serta gaji yang diberikan sebaliknya memikirkan cara yang terbaik dalam memberikan rawatan kesihatan yang terbaik serta berpatutan kepada segenap peringkat masyrakat. Melalui dengan cara itu, masyarakat akan dapat melihat nilai kerahmatan dan keikhlasan yang ada pada dada-dada para pengamal perubatan Muslim.

Hakikat yang tidak dapat disangkal bahawa para sahabat Nabi s.a.w. begitu yakin dan percaya bahawa Allah s.w.t. sentiasa bersama mereka dalam setiap gerak kerja yang dilakukan. Mereka percaya bahawa sekiranya Allah bersama dengan mereka,mereka tidak akan kehilangan sesuatu pun dan sekiranya Allah tidak bersama dengan mereka maka pada waktu itu pasti kebuntuan dan kesesatanlah yang akan ditemui. Sesungguhnya Allah s.w.t hanya menganugerahkan perasaan sentiasa bersama Allah (ma’iyatullah) kepada mereka yang bertaqwa dan professional(berbuat ihsan) sebagaimana yang telah disebutkan dalam al-Quran:

“Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang professional (berbuat ihsan).”(surah an-Nahl ayat 127 dan 128)

One Response to Profesional Daie, Generasi Rabbani

  1. artikel yg manarik…

Leave a comment